04 November 2021

Kanak-kanak 12 tahun boleh solat jemaah di masjid, surau

 

KUALA LUMPUR: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) membenarkan kanak-kanak berumur 12 tahun ke atas dan warga asing yang telah mendapat vaksln lengkap untuk menunaikan solat berjemaah di masjid dan surau.

Demikian antara ketetapan baharu mengenai aktiviti pengimarahan di masjid dan surau di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.


Pengarah JAWI, Datuk Mohd Ajib Ismail berkata, ini termasuk penjarakan fizikal antara jemaah dikurangkan daripada 1.5 meter kepada satu meter.

Menurutnya, ketetapan berkenaan berkuat kuasa bermula waktu Maghrib hari ini dan perkara berkenaan telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Selain itu, jelas beliau murid tadika dan Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) dibenarkan untuk menghadiri kelas pengajian yang beroperasi dalam premis masjid dan surau berpandukan Garis Panduan Pengurusan dan Pengoperasian Sekolah.

Menurutnya lagi, dibenarkan majlis sosial seperti kenduri, majlis sambutan perayaan, majlis perkahwinan, majlis aqiqah serta lain-lain majlis sosial untuk diadakan di dewan masjid dan surau bagi individu yang telah lengkap menerima vaksin dengan 50 peratus kapasiti ruang dan penjarakan fizikal.

Beliau berkata kesemua kebenaran berkenaan tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan selaras dengan nasihat Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Semoga lebih ramai jemaah dapat mengimarahkan masjid dan surau di Wilayah-Wilayah Persekutuan,” ujarnya dalam satu kenyataan, hari ini. – HARAKAHDAILY 4/11/2021

Tiada ulasan: