04 November 2021

Aliran trafik meningkat 1.48 juta orang balik kampung

 

Mat Kassim Karim

PETALING JAYA: Jumlah aliran trafik di tiga lebuh raya utama semalam meningkat susulan perayaan Deepavali hari ini. 

Operasi dan tinjauan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) mendapati, kira-kira 1.48 juta kenderaan dicatatkan di lebuh raya Utara-Selatan (1.26 juta) Lebuh Raya Kl-Karak (150,936) dan Lebuh Raya Pantai Timur Fasa 1 (53,541).

Pengarah JSPT Bukit Aman, Datuk Mat Kassim Karim berkata, pihaknya mengesan peningkatan ini berbanding 15 Oktober lalu iaitu cuti panjang sempena Maulidur Rasul.

Katanya, Plaza Tol Jalan Duta menunjukkan peningkatan sebanyak 10.8 peratus iaitu 67,458 kenderaan berbanding 60,831 kenderaan sebelumnya.

“Sebanyak 41,683 aliran trafik dikesan di Plaza Tol Sungai Besi iaitu meningkat kepada 2.37 peratus berbanding sebelumnya (40,721 kenderaan). 

“Bagi Plaza Tol Skudai pula mencatatkan peningkatan sebanyak 10.84 peratus iaitu 22,808 kenderaan berbanding 20,578 kenderaan dalam tempoh sama,” katanya kepada Utusan Malaysia, di sini hari ini. 

Menurut Mat Kassim, Plaza Tol Juru mencatatkan peningkatan tertinggi iaitu 138.51 peratus iaitu 49,081 kenderaan berbanding 20,578 kenderaan.

Ujar beliau, aliran trafik di Plaza Tol Gombak meningkat sehingga 4.06 peratus daripada 82,368 kepada 85,714 kenderaan.

“Selain itu, sebanyak 60,656 kenderaan di Plaza Tol Bentong dicatatkan semalam dengan meningkat 7.53 peratus berbanding 65,222 pada 15 Oktober. 

“Aliran trafik di Plaza Tol Karak meningkat 4.01 peratus iaitu 15,342 kenderaan berbanding 14,751 kenderaan sebelumnya,” ujar beliau. 

Bagaimanapun, tambahnya, walaupun aliran keseluruhan meningkat namun kesesakan luar biasa dikesan. – UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: