18 Januari 2012

Tahun Baru Cina: Peniaga di Jalan Sultan muram

24 Safar 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 18 Jan: Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) menggesa Jabatan Tanah dan Galian (JTG) menarik balik kata dua mereka kepada pemilik tanah di Jalan Sultan iaitu sama ada mencapai persetujuan dengan MRT Corps menjelang 30 Januari atau akan kehilangan tanah mereka bagi projek pembinaan laluan MRT.

Ketua penerangannya, Herman Samsudeen berkata, penduduk dan peniaga di kawasan berkenaan bakal menyambut Tahun Baru Cina minggu hadapan namun dengan tekanan dari JTG itu membuatkan sambutan sedikit muram.

“Sesuatu perlu dilakukan bagi memastikan tiadanya penganiayaan kepada rakyat yang berhak untuk mempertahankan kediaman dan premis perniagaan mereka,” katanya kepada Harakahdaily.

Menurutnya, Jalan Sultan antara wilayah yang terletak di tengah-tengah Kuala Lumpur dan sebarang pembangunan di atas tanah di kawasan berkenaan akan mengganggu keselesaan rakyat.

Malah, katanya sebelum ini ada banyak cadangan supaya laluan MRT bawah tanah dijadikan alternatif tanpa perlu memindahkan penduduk atau mengambil tanah mereka.

Justeru, beliau berkata pihak MRT Corps perlu berbincang semula dengan penduduk sehinggalah keputusan yang memberikan kebaikan kepada semua pihak dicapai.

Tegasnya, penggunaan Akta Pengambilan Tanah 1960 adalah satu kezaliman dan tidak berperikemanusian.

Ini, ujar beliau hanya akan memberikan gambaran buruk kepada masa depan pembangunan Kuala Lumpur.

“Sewajarnya laluan bawah tanah termasuk stesen bawah tanah menjadi alternatif bagi bandar besar seperti Kuala Lumpur yang sepatutnya mencontohi kota London yang mempunyai rangkaian jalan keretapi bawah tanah yang hebat tanpa menganggu bangunan-bangunan yang sedia ada,” katanya lagi.

Beliau mengharapkan pihak JTG tidak mengunakan Akta Pengambilan Tanah 1960 dan tarikh 30 Januari sewajar tidak berbangkit.

“Hapuskan sahaja kata dua itu, kembali ke meja rundingan dan fikirkan alternatif lain kerana kita tidak mahu yang berada di Kuala Lumpur nanti hanyalah laluan pengangutan awam semata-mata dan penduduk terus dipinggirkan,” ujarnya.

Justeru, katanya DPPWP menyokong usaha Jawatankuasa Bagi Pemuliharaan Jalan Bukit Bintang dan Jalan Sultan bagi mempertahankan hak mereka dan bersedia memberikan khidmat nasihat dalam isu berkaitan pada bila-bila masa jika diperlukan.

Harakah Daily

Tiada ulasan: