18 Januari 2012

PAS ragu penjelasan NFC kontrak RM250 juta

24 Safar 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 18 Jan: PAS meragui penjelasan Perbadanan Fidlot Kebangsaan (NFC) bahawa kontrak bagi pinjaman mudah RM250 juta yang diterima daripada kerajaan ditandatangani pada 2007.

NFC turut mempertikai dakwaan Jawatankuasa Kira-kira Awam (PAC) bahawa syarikat itu menerima sejumlah wang sebelum kontrak dimeterai.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Datuk Kamarudin Jaafar berkata, penjelasan itu menimbulkan persoalan kerana PAC dalam mesyuaratnya sebelum ini telah memanggil semua pihak untuk memberikan maklumat.

"PAC telah memanggil semua pihak untuk memberi maklumat dalam sidang PAC jadi sepatutnya maklumat ini (NFC) ada dan dibentangkan.

"Kenapa baru sekarang NFC sebut perkara ini dan kenapa kerajaaan dan Unit Perancang Ekonomi tidak maklumkan kepada PAC?" soal beliau ketika ditemui Harakahdaily hari ini.

November lalu, Pengerusi PAC, Tan Sri Azmi Khalid berkata bahawa selepas menyoal siasat beberapa pegawai Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, pihaknya mendapati bahawa pinjaman dikeluarkan pada 2009 sedangkan kontrak itu dimeterai setahun kemudian iaitu pada tahun 2010.

Kamarudin yang juga ahli jawatankuasa PAC turut meminta mana-mana pihak yang mempunyai maklumat terus menulis surat kepada PAC agar jawatankuasa itu boleh terus berperanan menyiasat perbelanjaan yang diluluskan kerajaan.

"Kita menyeru kepada pihak yang mempunyai maklumat terus tulis surat kepada PAC," kata Ahli Parlimen Tumpat itu.

Sementara itu, Penolong Setiausaha Agung PAS, Dr. Syed Azman Syed Ahmad Nawawi berkata, laporan PAC tidak wajar dipertikai kerana jawatankuasa itu dilantik oleh Parlimen dan mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.

"PAC tidak boleh dipertikaikan kerana ia telah dibentang di Parlimen dan telah diterima pakai termasuk menerima perkenan Yang di-Pertuan Agong," katanya.

Harakah Daily

Tiada ulasan: