18 Januari 2012

Geng curi Proton tumpas

24 Safar 1433H. [MOD] -

BATU PAHAT – Kumpulan Geng Botak atau Geng Curi Proton yang didalangi empat individu diberkas polis di beberapa lokasi sekitar negeri ini, minggu lalu.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Din Ahmad berkata, kumpulan terbabit aktif mencuri kenderaan di beberapa daerah dengan menggunakan modus operandi yang menyasarkan kereta jenis Proton.

Menurutnya, dalam serbuan tengah malam Selasa lalu, polis menahan suspek utama yang juga ketua kumpulan berkenaan di rumahnya dekat Kluang.

Turut ditemui bersama suspek adalah 100 acuan besi bagi memproses nombor plat atau pendaftaran kereta palsu di dalam sebuah kereta di lokasi berkenaan.

“Hasil pemeriksaan lanjut ke atas kereta Proton Waja yang menyimpan 100 acuan besi berkenaan, polis mendapati kereta terbabit adalah kereta curi dengan nombor pendaftarannya sudah dipalsukan.

“Hasil siasatan, kita dapat mengesan dan menahan dua lagi ahli geng curi kereta berkenaan di Kulaijaya pada jam 4 pagi hari yang sama dan turut merampas sebuah kereta Proton Wira curi dengan nombor pendaftaran palsu,” katanya di sidang media, di Ibu Polis Daerah (IPD) Batu Pahat, semalam.

Hadir sama, Timbalan Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Superintendan Mat Razali Awang.

Menurutnya, penangkapan ketiga-tiga suspek membawa kepada penahanan suspek keempat di Simpang Renggam pada jam 9 pagi juga pada hari sama.

“Kita juga turut merampas dua kereta termasuk sebuah Proton Waja dan Proton Wira dipercayai kenderaan curi dengan nombor pendaftaran palsu,” katanya.

Mohd Razali berkata, dengan tertangkapnya empat suspek itu, pihaknya berjaya melumpuhkan sindiket curi kereta yang aktif di sekitar negeri ini.

Sinar Harian

Tiada ulasan: