18 Januari 2012

Thai lanjut tahan suspek pengganas Lebanon

24 Safar 1433H. [MOD] -

BANGKOK - Mahkamah Jenayah Thailand membenarkan tempoh penahanan seorang suspek yang disyaki pengganas dilanjutkan 12 hari lagi bagi membantu siasatan polis berhubung dakwaan ibu kota ini mungkin diserang pengganas dalam masa terdekat.

Menurut kenyataan Polis Thailand, mahkamah membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan pihak berkuasa untuk menyambung tempoh penahanan suspek mulai hari ini hingga 28 Januari.

Suspek, seorang rakyat Lebanon berusia 48 tahun, dipercayai anggota kumpulan Hezbollah yang dilabel sebagai pengganas oleh sesetengah negara, ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Suvarnabhumi di sini Khamis lepas ketika cuba meninggalkan Thailand.

Ibu kota diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga berikutan amaran yang dikeluarkan Kedutaan Besar Amerika Syarikat dalam laman webnya Jumaat lepas berhubung kemungkinan serangan pengganas di beberapa kawasan pelancong di sini dalam tempoh terdekat.

Polis turut menemui lebih empat tan bahan letupan terdiri daripada baja urea dan cecair ammonia nitrat di wilayah Samut Sakhon, kira-kira 36 kilometer di selatan Bangkok semalam, berikutan pengakuan suspek.

Kelmarin, Ketua Polis Thailand Jeneral Priewpan Damapong berkata, suspek mengaku bahan letupan itu sebenarnya ingin dibawa keluar ke negara lain dan bukan untuk digunakan di negara ini.

Terdahulu, Priewpan berkata suspek juga mengaku rancangan menyerang ibu kota terpaksa dibatalkan selepas pihak berkuasa Thailand dapat menghidu perkara itu sejak pertengahan bulan lalu, selepas mendapat maklumat daripada agensi perisikan antarabangsa. - Bernama

Sinar Harian

Tiada ulasan: