18 Januari 2012

Tiga ditahan bantu 15 kes samun

24 Safar 1433H. [MOD] -

JOHOR BAHRU – Tiga lelaki ditahan polis di kawasan Tol Pagoh, Muar, dipercayai terlibat dalam kes samun di Taman Pelangi, di sini, 12 Januari lalu.

Dengan penangkapan kesemua suspek berusia antara 28 hingga 30 tahun, polis percaya berjaya menyelesaikan lebih 15 kes samun di sekitar bandar raya ini dan Muar.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata, polis turut merampas sebuah kereta yang dilaporkan hilang di Taman Pelangi, dua komputer riba, dua besi pengumpil, satu playar dan empat pemutar skru.

“Semakan rekod jenayah mendapati dua suspek mempunyai rekod kesalahan lalu. Salah seorang suspek mempunyai empat rekod lampau iaitu, Seksyen 379A Kanun Keseksaan pada tahun 2002 di Gelang Patah, Seksyen 411 Kanun Keseksaan pada tahun 2004 di Skudai, Seksyen 12 Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 pada tahun 2005 di Skudai dan suspek juga pernah dikenakan tindakan Langkah-langkah Pencegahan Khas (LLPK) pada tahun 2008 di Batu Gajah Perak.

“Manakala seorang lagi suspek mempunyai tiga rekod jenayah lalu iaitu, Seksyen 6 ADB 1952 pada tahun 2002 di Masai, Seksyen 12(2) ADB 1952 pada tahun 2005 dan Seksyen 39B ADB 1952 pada tahun 2005 di Johor Bahru,” katanya ketika di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Johor, semalam.

Mohd Mokhtar berkata, kesemua suspek dikenakan tahanan reman selama tujuh hari bermula 12 Januari lalu.

Kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.

Sementara itu, dalam kes berasingan, polis menahan dua lelaki dan seorang perempuan berusia 23 hingga 28 tahun dalam dua serbuan yang dibuat di flat Larkin Idaman dan di Taman Johor, di sini, 10 Januari lalu.

Menurutnya, polis turut merampas pelbagai barangan termasuk sebuah kereta yang dilaporkan hilang, sebuah komputer riba, sebuah kamera, lapan utas jam tangan berjenama, empat buah telefon bimbit dan lain-lain.

“Semakan rekod jenayah ke atas suspek dapati salah seorang suspek mempunyai tiga rekod jenayah iaitu Seksyen 457 Kanun Keseksaan di Taman Universiti, Kota Tinggi dan Taman Ungku Tun Aminah.

“Manakala, seorang lagi didapati mempunyai satu rekod jenayah pada tahun lalu di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan di Permas Jaya dan Kesemua suspek telah dikenakan tahanan reman selama 12 hari sehingga 22 Januari ini.

“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan sebatan. Ekoran kejayaan ini, pihak polis telah berjaya menyelesaikan 34 kes samun berkawan di sekitar bandar raya ini,” katanya.

Sinar Harian

Tiada ulasan: