18 Januari 2012

3 minggu keluarkan minyak kapal

24 Safar 1433H. [MOD] -

THE HAGUE, Belanda - Proses mengepam minyak keluar dari kapal persiaran mewah yang terbalik di perairan Itali akan mengambil masa sekurang-kurangnya tiga minggu, kata ketua sebuah syarikat Belanda yang bertanggungjawab berhubung operasi berkenaan.

"Ia mengambil masa sekurang- kurangnya tiga minggu," kata Peter Berdowski dalam satu wawancara di stesen televisyen Belanda malam kelmarin ketika ditanya masa yang diperlukan oleh syarikatnya, Royal Boskalis untuk mengepam keluar semua diesel dari kapal mewah Costa Concordia itu.

Apabila mengepam keluar minyak diesel, setiap jam diambil kira kerana jika perkara tidak diingini seperti tumpahan minyak berlaku, ia akan membawa kepada pencemaran ekologi yang teruk, katanya.

Anak syarikat Royal Boskalis, Smit Salvage akan melakukan kerja mengepam keluar 2,380 tan minyak diesel yang dibawa kapal persiaran berkenaan.

Sekitar 20 pekerja syarikat itu tiba di Pulau Giglio. Kapal Costa Concordia yang membawa lebih 4000 penumpang dan kru tersadai selepas melanggar kawasan berbatu di perairan pulau itu Jumaat lalu

Sekurang-kurangnya enam orang disahkan maut dalam nahas tersebut setakat ini.

Dalam perkembangan berkaitan, skuad penyelamat menggunakan bahan letupan terkawal semalam untuk memasuki kapal itu dalam usaha mencari 29 mangsa yang masih hilang.

Harapan untuk mencari mereka bagaimanapun semakin tipis selepas empat hari tragedi berkenaan berlaku.

Mangsa-mangsa yang hilang termasuk 14 warga Jerman, enam rakyat Itali, empat penumpang Perancis, dua warga Amerika Syarikat, seorang rakyat Hungary dan seorang warga Peru. - Agensi

Tiada ulasan: