18 Januari 2012

Didakwa bunuh kekasih

24 Safar 1433H. [MOD] -

IPOH – Seorang penganggur dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, semalam atas tuduhan membunuh teman wanita yang dijumpai di perkampungan Orang Asli Kampung Juang, Simpang Pulai pada awal bulan ini.

S Manoharan, 50, mengangguk kepala tanda faham terhadap pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Mohamad Nasruddin Mohamed.

Dalam kes tersebut, Manoharan didakwa membunuh Indeer Kaur a/p Jaswant Singh, 22, di sebuah rumah di Lapangan Perdana 26, Lapangan Perdana Ipoh antara jam 7 pagi dan 11 pagi, 13 Disember 2011.

Dakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh berikutan kes berkenaan akan dibawa ke Mahkamah Tinggi.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Al-Hirzan Mahamad Akhir tidak menawarkan jaminan kepada tertuduh.

Mohamad Nasruddin menetapkan 16 April ini untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia dan DNA.

Akhbar ini melaporkan, mayat seorang wanita ditemui dalam gulungan selimut dengan kesan kecederaan serius dan berulat di bahagian kepala oleh seorang penduduk kampung berkenaan yang keluar untuk memikat burung.

Polis bagaimanapun berjaya menahan seorang lelaki selepas 26 jam penemuan mayat berkenaan bagi membantu siasatan.

Hasil siasatan polis mendapati pembunuhan itu berpunca daripada perasaan cemburu.

Sinar Harian

Tiada ulasan: