18 Januari 2012

Syria: Sidang OIC sebelum barat campur tangan

24 Safar 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 18 Jan: PAS mahu Malaysia segera menuntut agar diadakan sidang kemuncak tergempar Pertubuhan Negara-negara Persidangan Islam (OIC) bagi membincangkan krisis Syria yang kini telah mengorbankan ribuan rakyat awam negara itu.

Pengerusi Lajanah Antarabangsa PAS, Datuk Kamaruddin Jaffar berkata, Malaysia perlu bertindak segera memandangkan keganasan oleh pasukan tentera kerajaan Presiden Bashar Al-Assad terhadap rakyatnya makin berleluasa.

"Hari ini rombongan 50 orang pemerhati Liga Arab dihantar ke Syiria untuk memastikan Presiden Bashar Al-Assad tamat.

"Rumusannya, majoriti mereka tidak berpuas hati dengan keganasan yang terus berlaku dan menuntut ianya dihentikan segera," katanya kepada Harakahdaily dan Harakah hari ini.

Awal bulan lalu, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan Liga Arab telah mengadakan mesyuarat untuk menyelesaikan krisis ini.

Namun OIC masih dilihat berdiam diri dari membincangkan penyelesaian terhadap keganasan yang menimpa umat Islam Syiria itu.

Pergolakan yang bermula Mac 2011 lalu dianggar telah mengorbankan lebih 5000 nyawa rakyat negara itu.

Paling kritikal, pertempuran di bandar Homs yang telah mengorbankan ratusan rakyat yang berlarutan sehingga sekarang.

Kerajaan Syiria pimpinan Presiden Bashar Al-Assad sebelum ini telah berjanji untuk tidak bertindak ganas terhadap rakyatnya.

Bagaimanapun episod pembunuhan demi pembunuhan berlaku menyaksikan kerajaan itu tidak pernah menepati janji mereka.

Sementara itu, timbalannya Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi berkata, kebimbangan pada waktu ini adalah campurtangan kuasa barat yang bertujuan memecahbelahkan umat Islam Syiria.

"Kita perlu bertindak segera supaya tidak ada campurtangan kuasa besar khususnya Amerika dan Israel untuk porak peranda keadaan demi kepentingan kuasa mereka di Timur Tengah.

"Lebih menyakitkan, ianya boleh membawa kepada perbalahan antara mazhab," katanya.

Sehubungan itu, PAS katanya menyeru semua negara-negara umat Islam untuk melihat isu Syiria sebagai isu umat Islam dan bukan isu politik semata-mata.

Tahniah Ikhwan

Dalam perkembangan lain, Dyed Azman juga turut mengucapkan tahniah kepada Ikhwan Mesir ekoran Parti Kebebasan dan Keadilan (FJP) yang mewakili mereka menang majoriti kerusi pada pilihan raya parlimen di negara itu.

"PAS ucap syabas dan tahniah kepada Ikhwan Mesir.

"Kita doakan Mesir akan bergerak dengan demokrasi tulen," katanya.

Harakah Daily

Tiada ulasan: