18 Januari 2012

Bebola halang duduk atas kereta api

24 Safar 1433H. [MOD] -

BEBERAPA pekerja menggantung bebola pada sebatang palang di landasan kereta api di Bekasi, Jawa Barat semalam.

JAKARTA - Pihak berkuasa Indonesia sebelum ini mencuba pelbagai kaedah unik termasuk menyembur dengan cat merah dan menggunakan anjing garang untuk menghalang penumpang daripada berada di atas bumbung kereata api.

Terbaru, pemerintah Indonesia menggantungkan bebola-bebola konkrit sebesar buah limau gedang pada palang-palang besi yang didirikan di sepanjang laluan kereta api.

Jarak bebola besi tersebut daripada bumbung kereta api cuma beberapa sentimeter.

Pihak berkuasa berharap bebola berkenaan yang boleh mendatangkan kecederaan serius jika terkena kepala manusia, akan dapat mencegah orang ramai daripada menaiki bumbung kereta api.

"Kami mencuba apa sahaja cara sebelum ini termasuk meletakkan kawat berduri di atas bumbung kereta api tetapi tiada apa yang berkesan," kata jurucakap syarikat kereta api api milik pemerintah, Mateta Rizahulhaq.

Menurut Mateta, palang bebola konkrit pertama dipasang hanya beberapa meter daripada stesen kereta api di pinggir bandar raya ini dan jika berjaya, projek tersebut akan diperluas ke seluruh Indonesia. - Agensi

Tiada ulasan: