18 Januari 2012

Hubungan Pas Selangor dengan istana baik

24 Safar 1433H. [MOD] -

SHAH ALAM - Pas Selangor menegaskan pihaknya masih mempunyai hubungan baik dengan pihak istana, dan yakin Dr Abdul Rani Osman yang juga Pesuruhjaya Pas Negeri akan dilantik menjadi Exco Kerajaan Negeri dan mengangkat sumpah pagi ini.

Setiausahanya Khairuddin Othman berkata, dakwaan mengatakan wujud hubungan tidak mesra adalah tidak benar kerana Pas Selangor sentiasa mengekalkan hubungan yang baik dengan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Menurutnya, isu penarikan tauliah mengajar yang melibatkan Dr Rani dan pemimpin Pas lain, tidak timbul kerana hubungan antara kedua-dua pihak masih baik sehingga kini.

“Hubungan kita dengan pihak istana baik, tiada masalah langsung dan isu tauliah tidak timbul kerana hubungan dengan Istana sentiasa dijaga.

“Saya berpendapat isu ini timbul kerana wujud pihak tertentu yang sengaja untuk mempengaruhi pihak Istana dalam membuat keputusan,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata demikian ketika mengulas dakwaan bahawa wujud hubungan tidak baik di antara pihak istana dengan barisan pimpinan Pas Negeri, susulan isu tauliah mengajar, sebelum ini tahun lalu.

Khairuddin berkata, Pas Selangor masih menganggap Dr Rani calon paling layak dilantik sebagai Exco Hal Ehwal Agama Islam, Adat-adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam menggantikan Datuk Dr Hasan Mohamed Ali.

“Pas Selangor sebelum ini sebulat suara mencadangkan pesuruhjaya untuk menggantikan Dr Hasan dan setakat ini kita lihat tiada masalah dengan cadangan itu.

“Kita hanya berikan satu nama sahaja kepada kepimpinan Pas pusat untuk dibincangkan dan seterusnya diserahkan kepada menteri besar,terpulanglah kepada mereka,” katanya.

Pengganti Hasan sebagai Exco Kerajaan Negeri dijadualkan mengangkat sumpah di depan Sultan Selangor dan dijangka akan hadir kali pertama dalam mesyuarat exco, hari ini.

Pada 10 Januari lalu, Dr Rani memberitahu beliau berharap dirinya tidak dicalonkan menggantikan Hasan kerana khuatir tidak mampu memikul tanggungjawab itu.

Bagaimanapun Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Meru itu berkata, terpulang kepada keputusan pimpinan tertinggi parti, beliau bersama Pas Negeri akan menerima sebarang keputusan.

Sebelum ini, Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) telah menarik tauliah Dr Rani dan Timbalan Pesuruhjaya Pas Selangor III, Khalid Abdul Samad kerana didakwa melanggar garis panduan yang ditetapkan.

Sinar Harian

Tiada ulasan: