21 Jun 2012

Audit Negara Perlu Siasat Kontrak RM30.8 juta Kepada Anak Menteri

1 Syaaban 1433H. [MOD] -

SHAH ALAM 21 JUN : PKR menggesa Jabatan Audit Negara menyiasat kontrak bernilai RM30.8 juta yang didakwa ditawar secara rundingan terus oleh Kementerian Belia dan Sukan kepada syarikat milik anak Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin.

Pengarah Komunikasi PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata projek bagi membekalkan kelengkapan Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Bandar Penawar Johor itu diberikan kepada Istijuara Sdn Bhd yang dimiliki oleh anak Raja Nong Chik, Raja Farhana Raja Nong Chik yang berusia 26 tahun.

“Ketua Audit Negara juga wajar mengesahkan keadaan peralatan yang dibekalkan oleh Istijuara kepada IKBN Bandar Penawar,” katanya dalam kenyataan media.

Tambah Nik Nazmi, jawapan Raja Nong Chik bahawa kontrak ini dianugerahkan sebelum beliau menjadi menteri tidak menjawab persoalan berkenaan kontrak dimeterai pada tahun 2010 itu ketika beliau sudahpun menjadi menteri.

“Pendedahan ini sendiri tidak dinafikan Raja Nong Chik apabila berhadapan dengan media baru-baru ini,” ujar Nik Nazmi.

Jelas Nik Nazmi, sewajarnya Raja Nong Chik boleh menjadi contoh kepada anggota kabinet yang lain dengan tampil ke hadapan bagi mengisytiharkan asetnya.

“Dengan ini beliau dapat memulihkan kewibawaan imej pimpinan Umno yang mendapat projek-projek kerajaan secara terus selama ini,” katanya.

selangorku/-

Tiada ulasan: