21 Jun 2012

Tonton Euro sebelum maut

1 Syaaban 1433H. [MOD] -

ALOR GAJAH - Seorang pemandu lori dan dua kelindannya sempat singgah di sebuah kedai makan untuk menonton perlawanan bola sepak Euro 2012 di televisyen, sebelum mereka terlibat dalam kemalangan maut, awal pagi semalam.

Kejadian berlaku kira-kira 5.15 pagi apabila lori ayam yang dinaiki mereka merempuh belakang sebuah treler berhampiran Hentian Rehat dan Rawat Simpang Ampat, Lebuh Alor Gajah-Melaka-Jasin (AMJ), menyebabkan seorang daripada kelindan berkenaan, dikenali sebagai Kishor, 33, seorang warga Nepal maut.

Lori yang dipandu seorang lelaki berusia 30-an turut dinaiki seorang lagi kelindan dikenali sebagai Krishnan, 24, dalam perjalanan dari pekan Alor Gajah menuju ke Simpang Ampat untuk mengambil bekalan ayam di sebuah kilang, dekat sini.

Mereka dikatakan dari Merlimau dan sempat berhenti seketika di sebuah kedai makan di Bemban sebelum meneruskan perjalanan.

Bagaimanapun, lori dinaiki mereka terbabas ke kiri dan merempuh bahagian belakang treler terbabit.

Sementara itu, Krishnan berkata, ketika kejadian dia tidur di tempat duduk belakang dan mendengar mangsa menjerit meminta tolong sebelum rakannya itu menghembuskan nafas terakhir.

“Sebelum kejadian kami sempat menonton bola bersama-sama sebelum meneruskan perjalanan ke Alor Gajah kira-kira 3 pagi,” katanya ketika ditemui di perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah.

Dalam pada itu, pemandu treler, Jumizan Tukimin, 34, berkata, ketika kejadian dia dalam perjalanan dari Krubong ke Pelabuhan Klang untuk menghantar bekalan kabel.

Menurutnya, dia baru sahaja memberhentikan trelernya di bahu jalan untuk menikmati sarapan pagi dan terkejut mendengar bunyi dentuman sebelum trelernya berganjak ke depan.

Jumizan berkata, dia yang terkejut apabila mendapati sebuah lori ayam dinaiki tiga lelaki merempuh belakang trelernya dan terus membantu mengeluarkan mangsa yang tersepit.

“Mangsa bagaimanapun berjaya dikeluarkan anggota penyelamat yang tiba 20 minit kemudian,” katanya.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin mengesahkan kejadian.

Beliau berkata. mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik dan Bilik Mayat Hospital Melaka untuk bedah siasat.

Sinar Harian

Tiada ulasan: