21 Jun 2012

Blanc kritik aksi pemain

1 Syaaban 1433H. [MOD] -

MESKIPUN layak ke suku akhir, jurulatih Perancis, Laurent Blanc tetap tidak berpuas hati terhadap persembahan 'cap ayam' dipamerkan pemainnya ketika tumpas 0-2 di tangan Sweden pada perlawanan terakhir peringkat Kumpulan D di Kiev, awal pagi semalam.

Menurut Blanc, walaupun menguasai perlawanan, jentera serangannya tumpul, malah beberapa pemain di bahagian tengah dan pertahanan gagal beraksi baik.

"Saya fikir kami terlalu berlembut. Perkara ini amat merisaukan kerana kami akan bermain di suku akhir," katanya.

Bagaimanapun, Blanc percaya bahagian serangan Les Blues mampu diperbaiki, namun keampuhan di bahagian pertahanan merunsingkannya.

Menjelang perlawanan suku akhir menentang Sepanyol Ahad ini, Perancis turun tanpa khidmat Philippe Mexes selepas pemain pertahanan itu mengumpul kad kuning kedua, awal pagi semalam.

"Saya ada beberapa hari lagi untuk post mortem. Saya harap kesilapan hari ini tidak diulangi ketika berdepan Sepanyol," katanya.

Sinar Harian

Tiada ulasan: