21 Jun 2012

Pemuda PAS : Segerakan Pilihan Raya Kampus

1 Syaaban 1433H. [MOD] -

SHAH ALAM, 21 JUN : Pemuda PAS mendesak Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) supaya menyegerakan Pilihan Raya Kampus (PRK) yang lama tertangguh.

Ketua Penerangan Pemuda PAS, Riduan Mohd Nor berkata PRK itu sepatutnya diadakan pada bulan Mac 2012 lepas tetapi ditangguhkan di semua kampus sehingga ke bulan September 2012 kerana alasan remeh yang tidak boleh diterima.

“Tempoh masa tertangguh seperti yang diumumkan oleh KPT terlalu lama bagi mahasiswa kerana ia akan menyebabkan banyak agenda yang tidak dapat diselesaikan.

“Mahasiswa kini ketiadaan pemimpin di kampus-kampus yang akan berjuang bagi menentukan nasib mereka sendiri selama penangguhan ini,” kata Riduan dalam kenyataan media.

Tambah Riduan, beliau kesal kerana kerajaan cuba menafikan hak mahasiswa berpersatuan dan berpolitik kampus.

“PRK adalah perlu bagi mahasiswa bagi memilih pemimpin baru yang akan berjuang bagi kepentingan mereka.

“Menangguhkan pilihan raya kampus bererti mematikan idealisme mahasiswa, suara mereka tersekat, kepimpinan mereka terbantut dan kematangan berfikir mereka juga akan terhalang,” ujarnya.

Ramai melihat alasan utama disebalik penangguhan PRK adalah kerana ia berlangsung dekat dengan Pilihan Raya Umum Ke-13.

“Menyekat hak mereka memilih kepimpinan yang akan bersuara bagi pihak mereka merupakan suatu tindakan yang tidak wajar,” katanya.

selangorku/-

Tiada ulasan: