21 Jun 2012

Pengundi baru Selangor akan dibersihkan

1 Syaaban 1433H. [MOD] -

SHAH ALAM: PAS Selangor mensasarkan nama pengundi baru yang dimasukkan dalam senarai pemilih mereka untuk dibersihkan melalui program pendemokrasian dalam 'Kempen SelangorKU Bersih'.

Melalui tindakan ini, PAS berhasrat untuk mengenalpasti mereka dan seterusnya membersihkan senarai pemilih di Selangor menjelang pilihan raya umum akan datang ini.

Pesuruhjaya PAS Selangor, Dr Abdul Rani Osman (gambar) menjelaskan, tumpuan akan diberikan kepada golongan pengundi yang baru dibawa masuk.

"Pendemokrasian ini merupakan salah satu kempen 'Selangorku Bersih' yang mana kita memberi fokus sepenuhnya untuk membersihkan daftar pemilih.

"Bagi Dun Meru yang saya wakili misalnya, pertambahan pengundi adalah seramai lapan ribu orang jadi tumpuan kita adalah kepada golongan tersebut," jelasnya.

Pertambahan jumlah pengundi baru yang amat mendadak di Selangor untuk Suku Ketiga 2011 berjumlah 316,788 berbanding daftar pemilih induk 2008 mengejutkan pimpinan Pakatan Rakyat di Selangor.

Rekod Daftar Pemilih Terkini Suku Tahun Ketiga 2011 menunjukkan pertambahan pengundi baru di Sabak Bernam ialah 5,711, Sungai Besar 6,049 , Hulu Selangor 15,481, Tanjong Karang 4,307, Kuala Selangor 10,083, Selayang 16,189, Gombak 15,467, Ampang 9,467, Pandan 13,175, Hulu Langat 23,334, Serdang 23,748, Puchong 19,772, Kelana Jaya 13,714.

Manakala di Petaling Jaya Selatan berlaku pertambahan sebanyak 4,143, Petaling Jaya Utara 5,603, Subang 27,765, Shah Alam 15,417, Kapar 21,606, Klang 11,702, Kota Raja 22,256, Kuala Langat 17,172 dan di Sepang 14,627.

Ekoran itu, ramai pihak yang beranggapan usaha Umno untuk merampas balik negeri Selangor ini sama seperti usaha Umno merampas balik Terengganu dalam pilihan raya 2004 lalu.

Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim pula berjanji, pilihan raya peringkat negeri Selangor tidak akan diadakan selagi daftar pemilih ini tidak bersih walaupun Parlimen telah dibubarkan di peringkat pusat.

Menurut Dr Rani, gerak kerja untuk membersihakan daftar pemilih ini dilakukan oleh jentera kerajaan negeri iaitu Ketua Kampung dan juga Penghulu yang mana setiap nama yang diperolehi akan diberikan bayaran oleh kerajaan negeri.

"Kerja pendemokrasian ini dilakukan sepenuhnya oleh Ketua Kampung mahupun Penghulu dengan dibantu oleh jentera parti.

"Setiap nama yang diragui ditemui oleh mereka kerajaan negeri akan menbayar RM3 setiap nama tersebut.

"Setelah kesemua nama kita perolehi dan kumpulkan maka Ketua Kampung akan membuat laporan polis dan kalau perlu ia turut dibawa ke mahkamah," sambungnya lagi.

Dr Rani turut menyatakan pihaknya telah dapat mengesan nama-nama yang meragukan tetapi jumlah sebenar belum diperolehi.

"Kita dapat mengesan nama-nama yang meragukan tetapi buat masa kini kita belum mengetahui jumlah sebenar.

"Sehingga kesemua maklumat kita kumpul barulah jumlah itu kita maklumkan beserta dengan laporan polis," tambahnya lagi.

Sebelum itu, Kerajaan Negeri telah mengumumkan sedia bekerjasama dengan pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam usaha membersihkan daftar pemilih khususnya di negeri Selangor melalui “Kempen SelangorKU Bersih”.

Kerajaan negeri telah memperuntukkan RM5 juta untuk Program Pendemokrasian di bawah Geran Selangorku ini.

Program tersebut adalah satu inisiatif khusus bagi membolehkan semua pihak tanpa mengira parti politik membuat bantahan jika terdapat mana-mana pengundi yang meragukan.

Harakah Daily

Tiada ulasan: