21 Jun 2012

Mubarak dibantu alat pernafasan

1 Syaaban 1433H. [MOD] -

Bekas pemimpin Mesir kena serangan angin ahmar, darah beku di otak

KAHERAH: Bekas Presiden Mesir, Hosni Mubarak memerlukan bantuan alat pernafasan semalam dan keadaannya dilaporkan semakin tenat di hospital.

Pegawai tentera Mesir menafikan laporan awal bahawa bekas pemimpin itu ‘mati klinikal’, merujuk kepada keadaan peredaran darah, pernafasan tidak lagi berfungsi dan aktiviti bahagian otak juga berhenti.

Berita Mubarak semakin tenat disiarkan ketika Mesir mengakhiri pilihan raya presiden pusingan kedua dan menghadapi detik 48 jam yang kritikal, kata akhbar Al-Ahram. Awalnya, agensi berita rasmi Mesir, MENA, memetik sumber perubatan sebagai berkata, bekas pemimpin itu sudah ‘mati klinikal.’

Tetapi, sumber lain dalam tentera dan agensi keselamatan berkata, Mubarak, 84, masih hidup dan menolak takrifan ‘mati klinikal’ ketika menjelaskan keadaannya.

Seorang anggota Majlis Tentera yang memerintah, Jeneral Said Abbas, memberitahu agensi berita bahawa Mubarak kena serangan jantung tetapi turut menekankan: “Sebarang kenyataan beliau ‘mati klinikal’ adalah karut.”

Satu lagi sumber tentera memberitahu: “Beliau sudah tidak lagi sedarkan diri. Mubarak menggunakan bantuan alat pernafasan.”

Seorang lagi anggota Majlis Tentera, Jeneral Mamdouh Shaheen, memberitahu Cable News Network (CNN): “Beliau belum dalam keadaan mati klinikal seperti dilaporkan tetapi kesihatannya semakin teruk dan keadaannya kritikal.”

MENA awalnya memetik sumber perubatan sebagai berkata bahawa Mubarak ditakrifkan mati klinikal selepas jantungnya berhenti berdenyut dan tidak dapat disedarkan.

Bagaimanapun, tidak lama selepas itu, agensi berkenaan berkata, satu pasukan perubatan cuba merawat darah beku di bahagian otak Mubarak.

Sumber keselamatan berkata, Mubarak dihantar ke hospital Maadi dari penjara Tora kelmarin sejak dihukum penjara seumur hidup pada 2 Jun lalu.

Berita Mubarak semakin tenat disiarkan ketika Mesir mengakhiri pilihan raya presiden pusingan kedua dan menghadapi detik 48 jam yang kritikal, kata akhbar Al-Ahram.

Awal Isnin lalu, Ikhwanul Muslimin menyatakan, calonnya Mohamed Morsi adalah pemenang dan menunjukkan salinan keputusan undi keesokannya.

Tetapi, lawan Morsi yang juga bekas Perdana Menteri, Ahmed Shafiq, turut mendakwa menang dan jentera kempennya menuduh Ikhwan memberi angka palsu serta percaya keputusan rasmi hari ini akan mengumumkan beliau sebagai pemimpin baru. – Reuters/AFP

Tiada ulasan: