21 Jun 2012

Sweden lebur rekod Les Blues

1 Syaaban 1433H. [MOD] -

SWEDEN sudah tersingkir daripada Euro 2012, namun kemenangan 2-0 ke atas Perancis awal pagi semalam mencatat sejarah baru buat skuad kendalian Erik Hamren itu apabila menewaskan Les Blues buat kali pertama sejak 1969.

Malah, Sweden menjadi pasukan pertama mencalarkan rekod 23 perlawanan tanpa kalah Perancis di peringkat antarabangsa.

Menghuni tangga tercorot kumpulan D susulan kekalahan kepada tuan rumah Ukraine (0-2) dan England (2-3), Sweden tetap mempamerkan aksi bertenaga terutama apabila sepakan magis kapten pasukan, Zlatan Ibrahimovic pada minit ke-54 dan jaringan Sebastian Larsson berjaya meraih tiga mata, sekaligus menjadi hadiah buat penyokong The Blue-Yellow di Stockholm.

Gembira dengan aksi anak buahnya, Hamren bagaimanapun mengakui terkilan berikutan gagal meneruskan saingan ke peringkat suku akhir.

"Perasaan saya bercampur baur. Kami gembira kerana berjaya memecah rekod tanpa kalah Les Blues dalam 23 perlawanan dan ia merupakan satu kepuasan serta penghormatan buat kami dan penyokong.

"Pada masa sama, kami juga sedih kerana tidak dapat bertahan dalam kejohanan ini lebih lama. Meskipun tidak berjaya mencapai impian untuk pergi lebih jauh, namun saya tetap berbangga dengan corak persembahan yang ditunjukkan oleh pemain untuk melakar kemenangan," katanya.

Sinar Harian

Tiada ulasan: