21 Jun 2012

Dera anak teman wanita

1 Syaaban 1433H. [MOD] -

AYER KEROH - Seorang lelaki yang mendakwa menghidap sawan mengaku tidak salah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, di sini, semalam atas tuduhan mendera anak teman wanitanya sewaktu kanak-kanak itu berada di bawah jagaannya.

Azmir Abu Bakar, 26, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan kepadanya di hadapan Hakim Ahmad Sazali Omar.

Azmin berhadapan tuduhan mengabai dan mendedahkan seorang kanak-kanak berumur empat tahun 10 bulan dengan menyebabkan kanak-kanak itu mengalami kecederaan sewaktu dalam peliharaannya.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah rumah di Taman Melaka Raya, kira-kira jam 11 pagi pada 30 Mei lalu.

Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun serta boleh didenda tidak lebih RM20,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Mahadi Abdul Jumaat manakala tertuduh, seorang buruh binaan, tidak diwakili peguam.

Mahadi turut memohon supaya mahkamah mengenakan jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh sementara menanti tarikh sebutan semula kes.

Bagaimanapun, dalam rayuannya, tertuduh, memohon supaya jaminan itu dikurangkan dengan alasan dia tidak berkemampuan serta tidak mempunyai wang sebanyak itu kerana datang dari keluarga susah.

Tertuduh turut memaklumkan kepada mahkamah bahawa dia merupakan seorang penghidap sawan serta bakal berkahwin dengan ibu kanak-kanak berkenaan.

Dalam penghakimannya, Ahmad Sazali membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM8,000 serta menetapkan 20 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Ahmad Sazali turut mengenakan syarat tambahan terhadap tertuduh di mana tertuduh dilarang tinggal bersama atau mendekati mangsa sehingga kes selesai.

Sinar Harian

Tiada ulasan: