21 Jun 2012

Isu perkauman: Croatia didenda RM320,000

1 Syaaban 1433H. [MOD] -

SELEPAS 14 hari Euro 2012 berlangsung, buat pertama kali Kesatuan Bola Sepak Eropah (Uefa) mengenakan denda berkaitan isu perkauman ke atas Croatia berjumlah €80,000 (RM320,440).

Denda tersebut dikenakan atas tindakan tidak bermoral penyokong Croatia yang mengeluarkan kata-kata penghinaan ke atas penyerang Mario Balotelli ketika pertemuan menentang Itali, Jumaat lalu.

“Persekutuan Bola Sepak Croatia (HNS) bukan sahaja didenda sebab isu perkauman malah kerana tindakan penyokong melempar bunga api.

“Mereka (HNS) bagaimanapun dibenarkan mengemukakan rayuan terhadap keputusan Uefa dalam tempoh tiga hari," menurut Uefa menerusi kenyataan kepada media, semalam.

Insiden denda membabitkan isu perkauman adalah yang pertama sepanjang kempen Euro 2012.

Croatia sebelum ini turut didenda £20,000 (RM99,183) kerana menyalakan bunga api, melempar peluru getah dan menceroboh kawasan padang.

Untuk rekod Croatia pada kejohanan Euro 2008, Croatia didenda £10,000 (RM49,587) juga membabitkan isu perkauman.

Sebelum ini, jurulatih Croatia, Slaven Bilic mahu Uefa mengambil tindakan tegas ke atas individu yang menjadikan Balotelli sebagai sasaran isu terbabit.

Dalam perkembangan lain, Rusia mengemukakan rayuan berhubung keputusan Uefa menghukum Kesatuan Bola Sepak Rusia sebanyak £120,300 (RM596,514).

Denda dikenakan selepas penyokong Rusia dilaporkan melempar bunga api dan mempamerkan sepanduk haram di dalam stadium ketika aksi menentang Poland, selain pergaduhan di luar stadium Warsaw yang menyebabkan beberapa anggota keselamatan dan petugas cedera.

Selain itu, Rusia turut berdepan hukuman dipotong enam mata pada pusingan kelayakan Euro 2016.

Sinar Harian

Tiada ulasan: