28 Disember 2011

Geng Azlan tumpas

3 Safar 1433H. [MOD] -

GOMBAK - Taktik licik sindiket curi lori dikenali sebagai Geng Azlan berjaya ditumpaskan, selepas polis memberkas empat lelaki termasuk ketua kumpulan itu, serta merampas lapan lori bernilai RM200,000 dalam beberapa serbuan yang dibuat pada 19 hingga 24 Disember lalu di Tanjung Karang, Selangor dan Teluk Intan, Perak.

Timbalan Ketua Polis Daerah Gombak, Superintendan Rosly Hassan berkata, hasil maklumat yang diperoleh, pihaknya menahan seorang lelaki yang juga ketua kumpulan terbabit bernama Azlan di Tanjung Karang pada 19 Disember lalu.

Beliau berkata, susulan tangkapan itu, pihaknya menahan dua lagi suspek lelaki bersama dua buah lori dalam dua serbuan di Tanjung Karang pada 21 Disember dan di Teluk Intan pada Jumaat lalu.

“Hasil soal siasat dibuat, kita berjaya tahan suspek keempat di kawasan sama iaitu di Teluk Intan dan merampas dua buah lori bersamanya.

“Siasatan lanjut kemudiannya membawa kepada serbuan terakhir di sebuah ladang kelapa sawit di Teluk Intan dan sebanyak empat buah lori yang sudah diubah suai ditemui di kawasan itu,” katanya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak, semalam.

Rosly berkata, dalam operasi terbabit, pihaknya turut merampas pelbagai peralatan yang dipercayai digunakan suspek untuk mencuri lori iaitu wayar, playar, pemutar skru dan kunci pendua.

Beliau berkata, modus operandi suspek adalah dengan menyasarkan lori-lori yang ditinggalkan pemilik di sekitar kawasan Gombak.

“Mereka akan curi lori, kemudian ubah suai untuk kegunaan ladang, sebelum menjualnya dengan harga serendah RM3,000 hingga mencecah RM6,000. Harga asal sebuah lori terbabit biasanya berjumlah RM80,000,” katanya.

Menurutnya, siasatan awal menunjukkan kumpulan suspek itu aktif menjalankan kegiatan haram terbabit sejak awal tahun ini.

Katanya, semua suspek berusia antara 27 hingga 30 tahun itu direman seminggu bermula 20 Disember lalu sehingga semalam mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri.

Beliau berkata, semua suspek terbabit semalam diserahkan untuk siasatan lanjut oleh IPD Sentul bersabit kes lain.

Sinar Harian

Tiada ulasan: