28 Disember 2011

PKR tolak calon ‘katak’ bertanding PRU13

3 Safar 1433H. [MOD] -

ALOR SETAR - PKR Kedah akan memastikan calon pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) tidak lagi dibarisi calon ‘katak’, berdasarkan pe­ngalaman lalu yang me­nyak­sikan empat wakil rakyatnya yang menang pada PRU12 lompat parti.

Pengerusinya, Datuk Wan Salleh Wan Isa berkata, calon pada PRU13 diyakini lebih berkaliber dan berkarisma berbanding 2008, di mana calon ketika itu agak terhad.

“Kali ini ramai yang tawar diri bertanding, tidak ada pula yang tawar diri berundur. Disebabkan calon layak agak ramai, tapisan terperinci sedang dibuat. Saya percaya calon PRU13 kelak tidak lagi mudah dipancing seperti calon lalu,” katanya.

Menurutnya, kesemua wakil rakyat PKR sudah diberi garis panduan dan kursus kepimpinan untuk mengelak mereka goyah dan termakan pujuk raya pihak yang ingin mengumpan mereka.

Empat wakil rakyat PKR Kedah yang menang pada PRU12 lalu, yang kini wakil rakyat bebas ialah Ahli Parli­men Kulim Bandar Baharu, Zulkifli Noordin; Ahli Parli­men Padang Serai, N Gobala­krishnan; Adun Lunas, Mohd Radzhi Salleh dan Adun Bakar Arang, Tan Wei Shu.

Ditanya sama ada wakil rakyat sedia ada digugurkan, Wan Salleh berkata, keenam-enam wakil rakyat PKR, di mana mewakili tiga kawasan Parlimen dan Dun kekal bertanding pada PRU13.

“Setakat ini, enam wakil rakyat itu tersenarai dalam senarai pendek calon PRU13. Mereka turut bersedia sekira­nya tidak dicalonkan semula kerana keputusan akan diputuskan oleh pucuk pim­pinan Pusat,” katanya.

Tiga wakil rakyat Dun terbabit ialah Lim Soo Nee (Kulim), S Manikumar (Bukit Selambau) dan Tan Chow Kang (Sidam), manakala Parli­men membabitkan Johari Ab­dul (Sungai Petani), Datuk Rashid Din (Merbok) dan Ah­mad Kassim (Kuala Kedah).

Wan Salleh turut mengu­mumkan PKR Kedah akan mengadakan simulasi pilihan raya selepas Konvensyen Paka­tan Rakyat (PR) berlangsung pada 14 Januari depan.

“Walaupun pilihan raya olok-olok tetapi kita gunakan fakta terkini dari Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Selain memberi pendedahan kepada jentera pilihan raya yang baru dilantik selepas PRU12, ia adalah untuk memperkemas jentera parti,” katanya.

Menurutnya, hanya peti undi terpilih akan terbabit dalam pilihan raya itu.

“Sebuah jawatankuasa khas dilantik mengendalikan simulasi ini, mereka akan teliti peti undi mana yang ada keperluan dibuat pilihan raya olok-olok ini,” katanya.

Sinar Harian

Tiada ulasan: