28 Disember 2011

Banjir di tiga negeri tidak berubah

3 Safar 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR - Keadaan banjir di beberapa negeri tidak berubah dengan Johor kekal mencatatkan jumlah mangsa tertinggi.

Di JOHOR BAHRU, jumlah mangsa banjir masih berada di pusat pemindahan di tiga daerah ialah 1,214 orang berbanding 1,236 orang petang semalam.

Menurut portal banjir Majlis Keselamatan Negara, mereka ditempatkan di 18 pusat pemindahan iaitu lapan di Segamat, tujuh di Mersing dan tiga di Batu Pahat.

Jalan tanah merah menuju ke Kampung Orang Asli Peta di Taman Negara Endau Rompin masih ditenggelami air.

Perkampungan itu hanya boleh dihubungi melalui bot dan pengangkutan udara.

Di ROMPIN, jumlah mangsa banjir di pusat pemindahan juga tidak berubah, apabila enam orang dibenarkan balik sejak petang semalam, menjadikan jumlah masih berada di pusat berkenaan 619 mangsa.

Jurucakap Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang berkata, semua mangsa ditempatkan di tiga pusat pemindahan banjir di daerah itu.

“Seramai 137 orang ditempatkan di Sekolah Kebangsaan (SK) Sarang Tiong, SK Pianggu (430) dan Dewan Teluk Gading (52) setakat 9 pagi ini (semalam),” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Di SANDAKAN, mangsa banjir di kampung Gum-Gum dipindahkan ke pusat pemindahan berkurangan kepada 194 orang berbanding 351 semalam.

Jurucakap Pusat Operasi Banjir Majlis Perbandaran Sandakan berkata, kesemua 73 keluarga, ditempatkan di Dewan Sri Gum-Gum dan tidak dibenarkan kembali ke rumah kerana dikhuatiri paras air Sungai Gum-Gum meningkat.

Sementara itu, beberapa sungai utama di Beluran kini berada pada paras berjaga-jaga.

Penolong pegawai daerahnya, Roger Appolonius berkata, penduduk yang tinggal berhampiran tebing sungai, dinasihatkan berpindah ke kawasan selamat, jika mendapati paras air meningkat secara mendadak.

Jalan raya di Kilometer 1.5 Jalan SPSP 1 di daerah itu masih ditutup kepada semua jenis kenderaan sejak dinaiki air banjir.

Sinar Harian

Tiada ulasan: