28 Disember 2011

PAS Parit sedia rampas semua kerusi

3 Safar 1433H. [MOD] -

PARIT, 28 Dis: Dewan Pemuda PAS Kawasan Parit mengisytiharkan kesediaan menewaskan Barisan Nasional dalam Pilihanaraya Umum ke 13 semasa Himpunan Anak Muda Parit (Himpit) hujung minggu lalu.

(Presiden PAS menyerahkan bendera PAS dan PKR tanda pemberian mandat untuk memperjuangkan Pakatan dalam pilihan raya nanti)

Himpit berjaya mendapat sambutan di luar jangkaan dengan kehadiran mencecah 500 orang di Dewan Darul Mubarak, Kampung Selboh, Parit.

Himpit turut dihadiri oleh barisan penceramah anak muda yang bertenaga terdiri daripada Ketua Serikandi Keadilan Malaysia (Cik Siti Aisyah Sheikh Ismail), Ketua Ameerah Malaysia (Cik Fareedah Samad), AJK Cabang Keadilan Parit (En Mahathir Abdullah) dan Ketua Pemuda PAS Parit merangkap Exco Dewan Pemuda Pas Malaysia (Ustaz Hakimi Mohd Nor).

Himpit turut menyaksikan penyerahan watikah jentera pilihanraya oleh Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang kepada Ketua Pemuda PAS Parit dan Ketua Angkatan Muda Keadilan Parit (Husin Abdullah).

Dalam ucapan Ustaz Hakimi, beliau telah mengajak para hadirin untuk sama-sama mengiktiraf Ustaz Ismi Muhammad Taib iaitu YDP PAS Kawasan Parit sebagai Ikon Anak Muda Parit.

Pegisytiharan ini telah dibuat dihadapan seluruh tetamu jemputan iaitu Presiden PAS, Dato Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, Pesuruhjaya PAS Perak (Ustaz Abu Bakar Hussain), Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak (Haji Razman Zakaria), Setiausaha PAS Perak (Ustaz Misbahul Munir Masduki) dan Ketua Penerangan PAS Perak (Ustaz Nuri Al Amin Endut).

Menurut Ustaz Hakimi yang ditemui selepas Himpit, beliau mengucapkan rasa syukur atas sambutan yang begitu menggalakkan daripada anak muda termasuk dengan kehadiran konvoi bermotor dari seluruh kawasan Parit.

Beliau juga menyatakan bahawa Himpit ini adalah petanda awal bahawa Pakatan Rakyat akan memenangi semua kerusi di Parlimen Parit, Dun Belanja serta Dun Bota dalam Pilihanraya Umum ke 13 ini.

Harakah Daily

Tiada ulasan: