28 Disember 2011

Perlaksanaan SBPA proses kecilkan sektor awam?

3 Safar 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 28 Disember: Cadangan Kerajaan BN untuk melaksanakan Sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) yang kini ditentang hebat oleh kakitangan kerajaan, diyakini mempunyai muslihat tertentu khususnya bagi mengurangkan agensi dan kakitangan sektor awam.

Keyakinan tersebut didasarkan kepada beberapa perkembangan semasa, apatah lagi sebelum SBPA dilaksanakan, langkah ke arah itu telah pun dibuat oleh kerajaan.

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata, realiti itu antara lain terserlah apabila dirujuk kepada langkah penutupan Jabatan Perkhidmatan Pembentungan oleh Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) baru-baru ini.

Menurutnya, dengan langkah itu, kerajaan ternyata telah mengecilkan sektor awam dan mengurangkan kakitangan sektor awam, apabila kesemua kakitangan yang berada di bawah Indah Water Konsortium (IWK) akan diserapkan ke sebuah syarikat baru yang akan ditubuhkan, National Sewerage Services Company (Nasco) dan akan diswastakan sepenuhnya kemudiannya.

Katanya, sedangkan IWK itu berada di bawah Jabatan Perkhidmatan Pembentungan yang juga agensi kerajaan, tetapi apabila kakitangan-kakitangan terbabit diserapkan ke dalam Nasco nanti, mereka tidak lagi akan menjadi kakitangan kerajaan.

"Maklumat yang kami perolehi berhubung perkara itu pula, 98 peratus kakitangan IWK tidak bersetuju untuk diserapkan ke Nasco.

"Sebahagian besar daripada mereka itu adalah kakitangan di bahagian teknikal, para profesional yang berkepakaran tinggi termasuk engineer dan sebagainya," katanya ketika dihubungi Harakahdaily, di sini, hari ini.

Punca kakitangan-kakitangan terbabit tidak bersetuju diserapkan ke dalam Nasco, menurut beliau, tidak lain kerana mereka tidak bersetuju dengan dasar kerajaan untuk menswastakan sektor awam.

"Jika selama ini mereka sudah berada di dalam sektor awam, kenapa pula mereka mesti menjadi kakitangan swasta? Sedangkan dengan penyerapan itu, mereka akan kehilangan pelbagai keistimewaan sebagai kakitangan sektor awam," katanya yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena.

Walaupun sedar kakitangan sektor awam tidak bersetuju dengan tindakan tersebut, Kerajaan BN tetap dengan keputusannya untuk menutup Jabatan Perkhidmatan Pembentungan, tanpa mempedulikan risiko yang akan ditanggung oleh rakyat.

"Pada hal dengan pembukaan Nasco itu nanti, kerajaan terpaksa mengeluarkan peruntukan khas sebanyak RM200 juta daripada wang Tabung Amanah Pembentungan," tegasnya.

Selain itu, hutang IWK sebanyak RM1.5 bilion daripada kerajaan akibat kerugian yang ditanggungnya selama ini akan turut dilupuskan oleh kerajaan.

"Lain-lain geran yang bernilai RM7 bilion juga akan diserahkan kepada Nasco nanti. Pada hal penutupan IWK dan digantikan dengan Nasco itu sebenarnya hanyalah proses ubah nama sahaja dan ia tidak lebih dari itu bagi manfaat rakyat," tambahnya.

Manakala kerugian yang ditanggung oleh IWK itu pula selama ini, tegas beliau, adalah berpunca dari pertindihan pengurusan di dalam badan itu sendiri, akibat kesilapan dasar Kerajaan BN sendiri.

Kakitangan IWK khususnya di bahagian teknikal sahaja yang tidak bersetuju dengan penyerapan ke dalam Nasco itu berjumlah tidak kurang 120 orang, manakala langkah kerajaan itu pula pasti akan mengurangkan kakitangan profesional yang berkepakaran tinggi di dalam sektor awam.

Harakah Daily

Tiada ulasan: