28 Disember 2011

Status Isa Pengerusi KPF: Sekali lagi SKM dikunjungi

3 Safar 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 28 Dis: Gerakan Kebangkitan Peneroka Felda Kebangsaan (Bangkit) hari ini sekali lagi mengemukakan aduan kepada Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) berhubung perlantikan Pengerusi Felda Tan Sri Isa Samad sebagai Pengerusi Koperasi Permodalan Felda (KPF) yang baru.

(Bangkit dan Anak menyerahkan aduan kepada pegawai SKM tentang status Isa di KPF)

Aduan kedua ini juga dibuat Presiden Bangkit, Abdul Rahman Ramli ekoran tidak berpuas hati dengan jawapan SKM yang diterima mereka terhadap aduan pertama mereka 18 Oktober lalu berhubung perkara sama.

Turut serta dalam penyerahan aduan kedua tersebut adalah Pengerusi Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) Mazlan Aliman.

Dalam surat jawapan SKM bertarikh 10 November, Ketua Sektor Operasi dan Kawal Selia SKM, Haji Mat Deris Jusoh memaklumkan Isa belum lagi dilantik sebagai Pengerusi KPF.

Beliau juga merujuk kenyataan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Ahmad Maslan yang dilapor media 25 Oktober lalu bahawa Isa masih belum dilantik sebagai pengerusi KPF.

Dalam aduan kedua ini, Abdul Rahman mahu SKM menyatakan status sebenar Isa kerana didakwa berlaku kekeliruan dan percanggahan maklumat berkaitan perkara itu.

Menurutnya, percanggahan itu berkaitan maklumat bahawa Isa telah mendapat surat persetujuan menjadi pengerusi KPF pada 15 Ogos lalu daripada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak melalui setiausaha sulit kanannya Datuk Ab Aziz Kasim.

Dalam meyuarat khas Lembaga Pengarah Felda pada 25 Ogos pula, Isa telah membawa persetujuan tersebut untuk melantik dirinya sebagai Pengerusi KPF.

Aduan tersebut diserahkan kepada Ketua Unit Penguatkuasa SKM, Rossali Mursalin di pejabat suruhanjaya itu di Putra Place, Jalan Putra di sini.

Dalam aduan pertama dahulu, Bangkit turut memohon SKM membatalkan keputusan Mesyuarat Lembaga KPF pada 22 Jun lalu yang telah memuluskan keahlian Isa menjadi ahli koperasi.

Menurut mereka, keputusan tersebut melanggar Undang-undang Kecil KPF yang menyatakan hanya kakitangan Felda atau anak syarikat Felda yang berjawatan tetap sahaja yang layak menjadi anggota koperasi KPF, sedangkan jawatan Isa selaku Pengerusi Felda hanya berstatus kontrak.

Mereka juga memohon keahlian Isa dalam KPF dibatalkan serta-merta.

Tidak terikat dengan politik

Dalam pada itu, Mazlan Aliman yang turut bersama Bangkit ke SKM hari ini mahu suruhanjaya itu tidak terikat dengan agenda politik pihak tertentu dalam isu tersebut.

"Kalau mahu jadi agensi berwibawa, tolong hormat undang-undang dan koperasi pekebun kecil.

"Jangan terikat dengan orang politik," katanya sambil menggesa jawapan segera sebelum 5 Januari.

Jawpan SKM sebelum tarikh itu sangat penting kerana ada kaitan dengan saman pemula peneroka terhadap KPF dan Felda Global Ventures Holdings (FGVH) yang difailkan baru baru ini.

Mereka juga memohon njunksi mahkamah bagi menghalang Mesyuarat Agung Perwakilan Khas KPF pada 5 Januari depan.

Harakah Daily

Tiada ulasan: