28 Disember 2011

Pegawai polis cedera ditetak

3 Safar 1433H. [MOD] -

ALOR SETAR - Seorang lelaki bertindak agresif menyerang pegawai polis berpangkat Inspektor dengan parang panjang sehingga cedera parah, ketika dalam satu serbuan polis di rumahnya, semalam.

Ketua Polis Kedah, Datuk Ahmad Ibrahim berkata, suspek berumur 45 tahun itu juga turut merosakkan sebuah kereta peronda polis dengan memecahkan cermin dan kerugian dianggarkan berjumlah RM2,000 hingga RM3,000.

Menurutnya, kejadian berlaku sekitar jam 12.30 tengah hari setelah sepasukan polis terdiri daripada dua pegawai dengan 10 anggota pergi ke rumah suspek di Kampung Alor Pudak, Yan untuk menyerahkan saman berhubung kes Seksyen 427 Kanun Keseksaan iaitu melakukan perbuatan khianat.

“Kita sedaya upaya tidak menggunakan senjata api untuk menangkap suspek sebaliknya menggunakan kaedah tangkap biasa sahaja walaupun berlaku pergaduhan ketika serahan saman.

“Suspek berjaya ditahan dan kini berada di Balai Polis Yan. Sementara mangsa, 29, bertugas selama tiga tahun dalam PDRM dimasukkan ke dalam wad untuk menerima rawatan lanjut di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB),” katanya kepada media di pekarangan wad kecemasan HSB, di sini, semalam.

Ahmad berkata, suspek akan disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun jika disabitkan kesalahan, atau Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebatan jika sabit kesalahan.

“Kita akan dakwa suspek dengan seksyen yang paling berat kerana melibatkan kes serius menyerang menggunakan senjata tajam dan boleh menyebabkan kematian kepada mangsa.

“Bagaimanapun kita juga cuba dapatkan pengesahan doktor untuk mengesahkan lelaki berkenaan mempunyai masalah tekanan jiwa atau sebaliknya. Namun suspek tidak memiliki sebarang rekod jenayah sebelum ini,” katanya.

Sementara itu, Pengarah HSB, Datuk Dr Juita Ghazali, mangsa, Muhamad Firdaus Zainal sampai di wad kecemasan HSB pada jam 3.25 petang dengan mengalami kecederaan di bahagian buku lali kiri serta dilaporkan stabil.

Menurut ibu suspek, anaknya mengalami masalah tekanan mental sejak empat tahun lalu dan bekerja membuat sawah.

“Semasa kejadian kami berdua di rumah, namun saya ketakutan melihat kehadiran ramai polis dan bertindak lari ke rumah jiran. Saya tidak tahu apa yang berlaku selepas itu,” katanya.

Sinar Harian

Tiada ulasan: