28 Disember 2011

PAS Sabah siap sedia hadapi kemungkinan banjir

3 Safar 1433H. [MOD] -

KOTA KINABALU, 28 Dis: Seluruh jentera pemuda PAS dan Unit Amal Sabah hari ini diminta bersiap sedia menghadapi kemungkinan berlakunya banjir di beberapa kawasan rendah di seluruh daerah di negeri ini.

Ketua Penerangannya, Mohd Julpikar Abd Mijan (gambar) berkata, pihaknya akan menempatkan petugas yang terdiri dikalangan petugas PAS dan Unit Amal di setiap bilik gerakan bagi kemudahan orang ramai yang menghadapi banjir.

"Kiita akan bersiap sedia. Bilik gerakan akan dibuka dengan jumlah kakitangan dan petugas yang mencukupi. Bantuan perlu sampai kepada rakyat,” jelasnya.

Beliau turut menasihatkan penduduk yang kerap dilanda banjir untuk melakukan persiapan awal bagi mengelakkan pelbagai kejadian tidak diingini berlaku.

“Patuhi arahan pihak berkuasa. Pindah apabila diminta berbuat sedemikian. Simpan barangan berharga ditempat yang tinggi dan awasi anak-anak,” nasihat Julpikar.

Selain itu, pengguna jalan raya turut dinasihatkan agar merancang pemanduan dan destinasi yang ingin ditujui berikutan cuaca yang tidak menentu.

Menurut Jabatan Meteorologi, hujan sekejap-sekejap kadangkala lebat dijangka turun di beberapa kawasan di Sabah dan Sarawak sehingga Khamis ini yang boleh menyebabkan banjir di kawasan rendah.

Kawasan terlibat di Sabah ialah Kudat, Kota Marudu, Pitas, Sandakan, Kota Belud dan Ranau manakala di Sarawak, keadaan sama dijangka terjadi di Kuching, Bau, Lundu, Samarahan dan Serian.

Harakah Daily

Tiada ulasan: