28 Disember 2011

Lelaki tidak mengaku rompak

3 Safar 1433H. [MOD] -

SHAH ALAM - Seorang lelaki didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, semalam atas tuduhan melakukan rompakan berkumpulan di stesen minyak Seksyen 7 di sini, Ogos lalu.

Bagaimanapun, Mohd Naim Abdullah, 30, mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Mohamed Mokhzani Mokhtar.

Mohd Naim didakwa melakukan rompakan itu bersama dua lagi rakannya yang masih bebas dengan bersenjatakan pisau di Stesen Shell Jalan Lazuar 7/29, Seksyen 7, di sini, kira-kira 6.48 pagi, 14 Ogos lalu.

Dalam rompakan itu, dia didakwa mengambil wang RM870.80 milik stesen minyak itu dan telefon bimbit serta tunai RM150 milik pekerja, Mohd Arman Khan.

Nilai kerugian dianggarkan RM1,400.

Mohd Naim berdepan tuduhan di bawah Seksyen 397 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimim 20 tahun dan boleh disebat, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Salwa Asmary Abd Rahman memohon mahkamah memberikan ikat jamin RM10,000 dengan alasan Mohd Naim mempunyai rekod lampau membabitkan kes sama.

Mohamed Mokhzani membenarkan permohonan itu dan menetapkan 31 Januari depan untuk sebutan semula kes.

Sinar Harian

Tiada ulasan: