28 Disember 2011

Lencongan Lalu Lintas Berhampiran KLIA Mulai Hari Ini Hingga Jumaat

3 Safar 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Pengguna jalan raya ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang perlu memberi perhatian bahawa lencongan akan dibuat di kedua-dua arah Lebuhraya KLIA di Kilometer 10 dan Kilometer 11 mulai hari ini hingga Jumaat.

Malaysia Airports dalam satu kenyataan hari ini berkata lencongan itu akan dilakukan secara berperingkat bagi melancarkan pembinaan 'launching beam' dalam projek KLIA2.

Lencongan ke arah Kuala Lumpur akan dilakukan antara 11 malam Rabu hingga 6 pagi Khamis, manakala bagi arah ke terminal KLIA, ia akan bermula 11 malam Khamis hingga 6 pagi Jumaat.

"Malaysia Airports telah merancang masa lencongan lalu lintas itu dibuat bukan pada waktu puncak bagi penerbangan di KLIA untuk meminimumkan kesannya," kata kenyataan itu.

Malaysia Airports juga menasihati pengguna agar memperlahankan kenderaan mereka ketika menghampiri kawasan yang terjejas akibat hujan lebat baru-baru ini. - BERNAMA

Tiada ulasan: