28 Disember 2011

Sekutu al-Qaeda akui perancang serangan Baghdad

3 Safar 1433H. [MOD] -

BAGHDAD: Satu kumpulan bersekutu dengan pergerakan al-Qaeda di Iraq mengaku bertanggungjawab atas beberapa serangan yang menggegarkan Baghdad minggu lalu hingga mengorbankan 69 orang.

Serangan terancang pada Khamis lalu mensasarkan pasar, kedai runcit, kafe dan bangunan kerajaan di kebanyakan kejiranan penduduk Syiah.

Ia berlaku ketika krisis kepemimpinan meletus membawa kepada ketegangan hubungan antara Sunnah dan Syiah.

Ia adalah serangan besar-besaran pertama sejak tentera Amerika Syarikat melengkapkan pengunduran penuh dari Iraq bulan ini.

Pada masa sama, ia menambah keraguan mengenai keupayaan pasukan keselamatan Iraq untuk melindungi negara itu. Hampir 200 orang cedera dalam pengeboman itu.

Menurut Kumpulan Perisikan SITE, sebuah organisasi berpusat di Amerika yang memantau lalu lintas web kumpulan jihad, pengakuan itu dihantar lewat kelmarin dalam laman web militan.

Kumpulan Negara Islam Iraq menggelar serangan itu sebagai ‘pencerobohan hari Khamis,’ bertujuan menyokong penduduk Sunnah yang dipenjara dan membalas dendam terhadap mereka yang dipenggal kerajaan Syiah.

“Serangan khas dilancarkan bagi menyokong tahanan Sunnah di penjara ditadbir golongan murtad dan membalas dendam terhadap tahanan yang dipenggal,” kata kenyataan mereka.

Kumpulan itu juga berkata serangan berkenaan adalah bukti bahawa mereka ‘tahu di mana dan bila untuk menyerang dan mujahidin tidak akan berdiri dengan tangan mereka terikat berpunca daripada rancangan berasal dari Iran.’

Kenyataan itu merujuk kepada tuduhan pemimpin Sunnah bahawa kerajaan Syiah bersekongkol dengan negara jiran Syiah, Iran, musuh ketat Baghdad ketika di bawah pemerintahan rejim Saddam Hussein.

Washington dan sesetengah pegawai Iraq memberi amaran kemunculan semula militan Sunnah dan Syiah serta meningkatnya keganasan selepas pengunduran tentera Amerika. – AP

Tiada ulasan: