28 Disember 2011

ANAK buat aduan kedua isu pelantikan Isa Samad

3 Safar 1433H. [MOD] -

Persatuan Anak-anak Felda Kebangsaan (ANAK) hari ini mengemukakan satu lagi aduan kepada Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) berhubung pelantikan Tan Sri Isa Samad sebagai pengerusi Koperasi Permodalan Felda Berhad (KPFB).

Presiden ANAK, Mazlan Aliman berkata, aduan itu dibuat kerana badan yang dianggotai peneroka itu tidak berpuas hati dengan penjelasan SKM sebelum ini, berhubung pelantikan tersebut.

"Kita minta satu pendirian daripada SKM sama ada Isa benar-benar (menjadi) ahli koperasi Felda," katanya kepada pemberita selepas menghantar aduan berkenaan di pejabat SKM, Kuala Lumpur.

Penjelasan SKM berkenaan didakwa bercanggah dengan satu surat perdana menteri bertarikh 15 Ogos yang menyatakan bahawa Isa merupakan pengerusi KPFB.

Sedangkan, jawapan yang diberikan SKM dalam satu surat bertarikh 10 November lalu menunjukkan Isa belum disahkan sebagai pengerusi KPFB, kata Mazlan.

Malah, surat SKM itu juga tidak menyebut mengenai status keahlian bekas menteri besar Negeri Sembilan itu sebagai ahli KPF, kata Mazlan lagi.

Tambahnya, penjelasan itu perlu memandangkan pelantikan pengerusi KPF mempunyai kaitan dengan penyenaraian satu lagi anak syarikat Felda, Felda Global Ventures Holdings Sdn Bhd ke Bursa Malaysia.

malaysiakini/-

Tiada ulasan: