28 Disember 2011

Pas percaya dapat perangi rasuah

3 Safar 1433H. [MOD] -

IPOH – Pas Perak menyifatkan amalan rasuah di negara ini hanya dapat dibanteras jika PR memenangi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) nanti.

Pesuruhjaya, Abu Bakar Hussain berkata, kes rasuah di negara ini cukup membimbangkan dan sejak 54 tahun mencapai kemerdekaan gejala ini tidak pernah surut, bahkan sentiasa membuak-buak dalam kalangan masyarakat.

Menurutnya, pelbagai kempen dan strategi dilaksanakan khususnya oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), namun sehingga kini hanya kumpulan bawahan sahaja yang dikenakan hukuman, manakala kumpulan atasan seolah-olah kebal dari segala hukuman.

“Sebagai sebuah negara yang memartabatkan agama Islam sebagai agama rasmi negara dan majoriti rakyatnya pula beragama Islam, gejala yang menular dalam masyarakat kita hari ini cukup memalukan.

“Sepatutnya, kerajaan yang memerintah hari ini perlu lebih proaktif untuk membanteras gejala rasuah daripada terus menjadi barah kepada masyarakat Malaysia,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Tambah beliau, kecuaian dan pengabaian dalam memelihara ajaran Islam dan tidak menjadikannya sebagai agenda utama dalam pentadbiran negara akan menyebabkan rasuah akan terus kekal bermaharajalela dan sukar diperangi.

“Satu-satunya cara untuk memerangi gejala rasuah ialah dengan kembali kepada ajaran Islam yang sebenar dan bukannya menggunakan Islam hanya apabila tersepit sahaja” ujarnya.

Beliau berkata, sekiranya duit yang berbilion yang tiris dan bocor kerana rasuah dapat dibendung serta digunakan untuk kegunaan manfaat rakyat, negara akan lebih maju lagi.

Sinar Harian

Tiada ulasan: