28 Disember 2011

Kertas siasatan NFC dalam proses

3 Safar 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), sedang menyiapkan kertas siasatan ahli perniagaan yang dikaitkan dengan kes dana Pusat Fidlot Nasional (NFC).

Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Mustafar Ali berkata, kertas siasatan itu akan dihantar kepada pendakwa raya.

“Kita tidak menutup kertas siasatan, walaupun suspek dibebaskan setelah remannya tamat semalam.

“Sekarang ini kita memberi ruang kepada polis untuk menyiasat suspek berhubung kes penipuan,” katanya.

Laporan akhbar menyebut suspek lelaki berusia 45 tahun itu direman lima hari bagi membantu siasatan kes NFC telah dibebaskan, namun ditahan semula kelmarin bagi membantu siasatan kes penipuan.

Mustafar berkata, pegawainya sedang mengumpulmaklumat yang boleh membantu siasatan mengikut Akta SPRM 2009.

Menurutnya, ini termasuk mendapatkan maklumat daripada pusat pemprosesan pusat (CPU) dan empat sampul surat putih, dipercayai mengandungi dokumen lain di ambil dari pejabat NFC di Solaris Mont Kiara dekat sini, Jumaat lalu.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Izany Abdul Ghany berkata, suspek kini ditahan reman sehingga 29 Disember bagi membantu siasatan kes penipuan tersebut.

Sinar Harian

Tiada ulasan: