18 Disember 2021

11 kes import disahkan varian Omicron, kini 13 kes

 

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan 11 lagi kes varian Omicron di Malaysia yang kesemuanya kes import dari lima negara, menjadikan jumlah kumulatif varian itu di negara ini kepada 13 kes.


Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan berkata tiga kes adalah dari United Kingdom, Amerika (tiga), Nigeria (dua), Arab Saudi (dua) dan Australia (satu).

“Ini sekali gus menjadikan jumlah kumulatif kes import yang disahkan varian Omicron adalah 13 kes,” katanya.

Menurut Dr Noor Hisham, daripada 11 kes yang disahkan varian Omicron itu sembilan kes melibatkan warganegara Malaysia manakala dua kes adalah warganegara Nigeria.

Beliau berkata lapan kes mempunyai gejala namun hanya pada tahap kategori dua manakala tiga lagi kes tidak bergejala.

Lima kes telah menjalani kuarantin di rumah manakala enam kes menjalani kuarantin di stesen kuarantin, katanya.

Dr Noor Hisham berkata kesemua kes ini sedang dalam siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca jangkitan dan kontak rapat.

Beliau berkata 11 kes yang disahkan varian Omicron hari ini merupakan sebahagian daripada 18 kes yang disyaki Omicron seperti diumumkan Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin pada Khamis lepas.

“Tujuh lagi sampel bagaimanapun tidak dapat disahkan varian Omicron memandangkan ujian jujukan genom penuh tidak berjaya dijalankan. Ini disebabkan tahap ‘viral load’ yang rendah dalam sampel-sampel yang diterima,” katanya.

Menurut Dr Noor Hisham, Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) telah mengesan 13 lagi kes import yang menunjukkan kemungkinan varian Omicron pada Jumaat 17 Disember.

Beliau berkata dengan peningkatan kes import varian Omicron di Malaysia, KKM mempertingkatkan lagi aktiviti kawalan dan pencegahan Covid-19 di semua pintu masuk antarabangsa dan di dalam komuniti.

KKM menggalakkan supaya setiap individu mengambil dos penggalak vaksin Covid-19 agar tahap perlindungan yang optimum dapat dicapai bagi mengekang penularan pandemik berkenaan, katanya. – BERNAMA

Tiada ulasan: