18 Disember 2021

Paras air Sungai Golok meningkat, rumah penduduk dilanda banjir

  Hujan berterusan dan peningkatan paras air di Sungai Golok menyebabkan penempatan penduduk di daerah Pasir Mas dinaiki air. NSTP/NIK ABDULLAH NIK OMAR

Hujan berterusan dan peningkatan paras air di Sungai Golok menyebabkan penempatan penduduk di daerah Pasir Mas dinaiki air. NSTP/NIK ABDULLAH NIK OMAR

RANTAU PANJANG: Rumah penduduk di beberapa penempatan rendah di daerah Pasir Mas mula dinaiki air pagi tadi, susulan hujan berterusan yang menyebabkan peningkatan paras air di Sungai Golok.

Antara kawasan digenangi air termasuk Kampung Kubang Pak Itam di Pasir Mas, Kampung Gual To'Deh, Kampung Tersang, Kampung Lachang, Kampung Bongor, Kampung Pengkalan Rakit dan Kampung Luar, di sini.

Menurut laman web https://publicinfobanjir.water.gov.my, paras air Sungai Golok di Rantau Panjang melebihi tahap bahaya dengan bacaan 9.12 meter setakat jam 11.15 pagi.

Rekod paras air Sungai Golok sebelum ini menunjukkan tahap waspada pada bacaan tujuh meter, manakala amaran pula pada parasa lapan meter, diikuti paras bahaya iaitu sembilan meter.

Mangsa banjir, Sharifah Ramlah Syed Abdullah, 46, ketika dihubungi berkata, air mula naik mendadak malam tadi susulan peningkatan paras air di sungai berdekatan rumahnya.

"Saya tidak dapat tidur malam tadi, apabila air dilihat sudah membanjiri perkarangan rumah sekitar jam 5 petang semalam. Saya dapat mengagak air naik lebih tinggi pada waktu malam dan tekaan ini tepat apabila bahagian dapur rumah dilimpahi banjir pagi tadi.

"Selain melihat situasi hujan semasa, saya juga merujuk kepada laman web yang disediakan untuk mengetahui maklumat semasa paras air bagi memudahkan kami bertindak awal untuk berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS).

"Banjir kali ini agak lewat berbanding tahun sebelumnya kerana biasanya dalam tempoh begini, banjir sudah berlaku gelombang pertama atau kedua," katanya yang tinggal berdekatan Sungai Golok, di sini.

Sementara itu, peniaga di Pasar Pekan Rantau Panjang, Azahari Abdullah, 51, mengakui resah apabila hujan berterusan dan sudah mengemas premis jualan pakaian miliknya.

"Jika penempatan rendah sudah digenangi air, biasanya hanya mengambil masa sehari atau dua hari saja untuk air membanjiri pekan ini.

"Jadi, operasi perniagaan akan ditutup sepenuhnya berikutan semua jalan utama ke sini dinaiki air.

"Namun, saya masih berharap peningkatan air sungai tidak berlarutan, seterusnya pekan bebas daripada banjir seperti berlaku pada minggu lalu," katanya.

BHRIAN.

Tiada ulasan: