18 Disember 2021

PM arah kementerian, agensi keselamatan bantu mangsa banjir

 


KUALA LUMPUR: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengarahkan semua kementerian berkaitan menggerakkan semua aset di kawasan terjejas banjir bagi memastikan rakyat diselamatkan serta ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) secepat mungkin.

Perdana Menteri berkata, beliau sudah berhubung dengan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani bagi menggunakan aset pasukan keselamatan terbabit, Angkatan Pertahanan Awam (APM), bomba dan agensi sokongan berkaitan untuk memindahkan mangsa banjir.

Katanya, aset itu juga bagi memastikan bekalan makanan, keperluan dan khidmat kesihatan disediakan segera di PPS.

"Pada Jumaat (semalam), Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) memberi taklimat mengenai keadaan banjir melanda beberapa negeri susulan hujan lebat secara berterusan.

"NADMA juga diminta bekerjasama dengan wakil rakyat di setiap kawasan kerana mereka mempunyai maklumat mangsa banjir dan ia dapat menyegerakan pelaksanaan pemindahan serta bantuan.

"Saya juga mengarahkan NADMA menyediakan talian kecemasan bagi komunikasi mangsa banjir yang masih terperangkap, selain mendapatkan maklumat di laman media sosial rasmi NADMA dan agensi terbabit," katanya menerusi hantaran Facebook, malam ini.

Ismail Sabri turut meminta Keluarga Malaysia yang berada di kawasan terjejas banjir supaya mematuhi arahan berpindah oleh pihak berkuasa.

"Jaga keselamatan diri dan keluarga. Saya akan terus memantau situasi bencana ini dari semasa ke semasa dan akan maklumkan kepada Keluarga Malaysia, langkah serta tindakan dilaksanakan," katanya.

Tiada ulasan: