18 Disember 2021

Angin kencang, ombak besar di perairan Kelantan

Anggota Maritim Malaysia Kelantan menyampaikan maklumat kepada nelayan pesisisir pantai berkaitan keadaan monsun pada masa ini - Foto NSTP/Maritim Malaysia

Anggota Maritim Malaysia Kelantan menyampaikan maklumat kepada nelayan pesisisir pantai berkaitan keadaan monsun pada masa ini - Foto NSTP/Maritim Malaysia


PASIR PUTEH: Nelayan pesisir pantai diminta berwaspada ketika turun ke laut berikutan ramalan angin kencang yang boleh mencecah 60 kilometer sejam pada masa ini.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kelantan, Kepten Maritim Syed Nor Adli Syed Ab Rahman, berkata keadaan itu berbahaya kepada bot kecil.

Katanya perairan Kelantan bakal menerima tiupan angin lebih kencang dan berterusan dengan antara 10 hingga 20 kilometer sejam dan boleh mencecah antara 50 hingga 60 kilometer sejam serta hujan lebat.

"Ombak juga boleh mencapai ketinggian 3.5 hingga 4.5 meter. Situasi ini boleh membahayakan bot terutamanya bot pemancing rekreasi, bot tradisional dan bot gentian kaca," katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Syed Nor Adli berkata, nelayan diharap sentiasa berwaspada dan memandang serius faktor keselamatan dalam menghadapi Monsun Timur Laut tahun ini.

Katanya, monsun bermula 3 November lalu turut mencatat kejadian pilu apabila sebuah bot terbalik di Tanjung Balau, Kota Tinggi, Johor yang mengorbankan 21 orang pendatang tanpa izin manakala 16 lagi masih hilang dalam kejadian pada 15 Disember lalu.

"Selain itu, seorang nelayan warga Myanmar hilang manakala empat lagi rakannya berjaya diselamatkan dalam kejadian di Kuala Kuantan, Pahang semalam," katanya.

Beliau berkata, pihaknya turut terbabit dalam operasi carilamat (SAR) bot nelayan tempatan kelas C itu yang terbalik lebih kurang 8.29 Batu nautika daripada Kuala Kuantan.

Tambahnya, kawasan SAR Maritim Kelantan adalah seluas 27,637 kilometer persegi dengan pantai sepanjang 78 kilometer.

Syed Nor Adli berkata, pihaknya menyarankan komuniti maritim sentiasa menyimpan nombor telefon APMM, membawa dan memakai jaket keselamatan, membawa peralatan komunikasi yang disimpan dengan selamat dan memaklumkan ahli keluarga, persatuan nelayan di mana lokasi mereka sekiranya berlayar atau menangkap ikan.

Selain itu, nelayan digalakkan mempunyai personal locator beacon (PLB) untuk pencarian tepat dan pantas jika berlaku kejadian tidak diingini dan sentiasa bersedia dengan sebarang perubahan iklim yang tidak dijangka.

BHARIAN.


Tiada ulasan: