18 Disember 2021

66 mangsa banjir di Dungun, Kemaman

 Laluan Jambatan di Kampung Teladas, Air Putih terpaksa ditutup selepas dinaiki air setinggi satu meter akibat hujan lebat sejak malam tadi. - Foto GHAZALI KORI

Laluan Jambatan di Kampung Teladas, Air Putih terpaksa ditutup selepas dinaiki air setinggi satu meter akibat hujan lebat sejak malam tadi. - Foto GHAZALI KORI

KUALA TERENGGANU: Mangsa banjir di Terengganu meningkat sedikit kepada 66 orang sehingga jam 8 pagi, berbanding 63 mangsa petang semalam.

Semua mangsa daripada 14 keluarga dipindahkan di dua pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah Dungun dan Kemaman.

Berdasarkan laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu, Kemaman merekodkan jumlah mangsa tertinggi apabila seramai 37 mangsa daripada tujuh keluarga dipindahkan ke PPS di Dewan Sivik Air Putih.

Jumlah mangsa di daerah Dungun kekal seramai 29 mangsa daripada tujuh keluarga ditempatkan di PPS Dewan Orang Ramai Kampung Pasir Raja.

Bagaimanapun, PPS di Sekolah Kebangsaan Kasar Hulu Nerus, Setiu yang dibuka jam 1.30 pagi semalam ditutup jam 5 petang hari yang sama, selepas empat mangsa daripada satu keluarga dibenarkan pulang ke rumah mereka.

Ketika ini, keadaan cuaca kadang kala hujan di beberapa kawasan di Terengganu.

Sementara itu, hanya Sungai Dungun di Kampung Pasir Raja, Dungun melepasi paras bahaya dengan bacaan 37.97 meter (m) berbanding paras normal 34.5 m.

Berdasarkan laporan infobanjir.water.gov.my, dua sungai melepasi paras amaran iaitu Sungai Besut di Jambatan Keruak,Besut dengan bacaan 34.28 m (28.5 m) dan Sungai Nerus di Kampung Bukit, Setiu yang merekodkan bacaan12.15 m (6m).

Lapan lagi sungai melepasi paras waspada iaitu tiga di Setiu, dua di Hulu Terengganu serta masing-masing satu di Besut, Kemaman dan Dungun.

BHARIAN.

Tiada ulasan: