18 Disember 2021

Banjir bertambah buruk, mangsa meningkat 2,766

 

PENDUDUK kampung menaiki bot untuk mencari keperluan selepas rumah mereka dilanda banjir akibat hujan lebat berterusan yang bertembung dengan air pasang besar di kampung Sri Damai, Kuantan, Pahang. -UTUSAN/ SHAIKH AHMAD RAZIF

PETALING JAYA : Jumlah mangsa banjir di seluruh negara bertambah kepada 2,766 orang daripada 706 keluarga yang membabitkan lima negeri.

Menurut portal Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), setakat pukul 1.25 petang, pertambahan itu melibatkan negeri Selangor apabila merekodkan 735 mangsa daripada 201 keluarga.

Namun, Pahang terus mencatatkan negeri tertinggi mangsa banjir iaitu 831 orang dan diikuti Kelantan (794), Selangor (735), Terengganu (223) dan Melaka (183).

Menurut maklumat itu lagi, jumlah keseluruhan daerah terlibat adalah 15 manakala 65 pusat pemindahan sementara (PPS) telah dibuka.

Terdahulu Jabatan Meteorologi mengeluarkan amaran hujan berterusan buruk membabitkan 12 negeri termasuk Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Menurut Facebook jabatan berkenaan, amaran buruk iaitu hujan lebat berterusan dijangka berlaku di membabitkan kawasan Gua Musang, Kelantan dan Tanah Tinggi Cameron, Lipis, Jerantut, Maran dan Kuantan di Pahang.

Selain itu, tahap waspada dengan hujan berterusan dijangka berlaku di beberapa kawasan melibatkan negeri Kedah, Pulau Pinang, Perak, Kelantan, Terengganu, Pahang, Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Melaka dan Negeri Sembilan.

Sehingga kini, sebanyak 1,766 orang daripada 428 keluarga menjadi mangsa banjir setakat pukul 8 pagi manakala sebanyak 46 pusat pemindahan sementara (PPS) melibatkan 12 daerah telah buka bagi menempatan mangsa banjir. -UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: