18 Disember 2021

Hujan cecah 380mm, air laut pasang punca banjir di Selangor

 KEADAAN Plaza Tol Shah Alam akibat dilanda banjir.

KEADAAN Plaza Tol Shah Alam akibat dilanda banjir.


SHAH ALAM: Hujan luar biasa sejak pagi semalam dan berterusan sehingga kini, ditambah dengan kejadian air pasang menyebabkan beberapa kawasan di Selangor dilanda banjir.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari, berkata Jabatan Pengairan dan Saliran Selangor memaklumkan bahawa taburan hujan telah mencecah 380mm.

"Jumlah ini adalah lebih dua kali ganda taburan hujan tertinggi yang dicatat sebelum ini iaitu kira-kira 180mm. Air pasang di kawasan-kawasan terlibat banjir pula mencecah hingga 4.5 meter," katanya dalam kenyataan selepas mempengerusikan mesyuarat Unit Pengurusan Bencana Negeri Selangor hari ini.

Beliau berkata, susulan itu beberapa langkah sedang dan akan diambil termasuk membabitkan keselamatan mangsa-mangsa banjir di kawasan yang paling terkesan.

Katanya setakat 5 petang tadi, daerah Klang, Petaling, Sepang, Kuala Langat dan Kuala Selangor telah mengoperasikan 46 pusat pemindahan sementara (PPS) bagi menempatkan 3,582 mangsa banjir.

Menurut Amirudin, kesemua mangsa di PPS akan melalui saringan COVID-19 secara berkala dan percuma untuk mengelak tercetusnya kes COVID-19 dan PPS khusus akan disediakan bagi mangsa yang dikesan positif COVID-19.

Beliau berkata, aset-aset kerajaan negeri serta agensi seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat, Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia akan dikerah khususnya kenderaan redah banjir bagi pemindahan mangsa serta pengagihan barangan keperluan asas manakala Air Selangor diarah menyediakan tangki air bergerak di PPS.

"Kesemua usaha ini akan dikoordinasi oleh Smart Selangor Operations Centre (SSOC) yang beroperasi 24 jam berpusat di Ibu Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, Shah Alam selain pasukan sukarelawan Team Selangor dan Selangor Volunteer (SERVE) akan digerakkan bagi membantu proses penempatan penduduk di PPS, mengagihkan bantuan awal serta pembersihan selepas air pasang mula surut," katanya.

Amirudin berkata, 134 pintu air terpaksa ditutup akibat kejadian air pasang bagi mengelakkan air melimpah keluar ke kawasan-kawasan perumahan penduduk yang berdekatan kunci air.

"Sebanyak 93 pam turut beroperasi secara penuh untuk mempercepatkan aliran air ke sistem perparitan sungai bagi mengawal kejadian banjir," katanya sambil menambah orang awam yang memerlukan pertolongan boleh menghubungi Unit Pengurusan Bencana Negeri Selangor di talian 03-50350920. – BERNAMA

Tiada ulasan: