18 Disember 2021

Mangsa banjir di Kelantan dan Pahang terus meningkat

 Mangsa banjir di Kelantan dan Pahang terus meningkat

Keadaan kawasan perumahan di Kampung Gong Terap, Setiu yang ditenggelami banjir ketika tinjauan 3 Dis 2021. - Gambar fail BERNAMA
KUALA LUMPUR: Jumlah mangsa banjir di Kelantan, Terengganu dan Pahang terus meningkat dengan 1,019 mangsa daripada 230 keluarga ditempatkan di Pusat Penempatan Sementara (PPS) di sekitar negeri berkenaan setakat malam tadi berbanding 635 mangsa daripada 131 keluarga, petang semalam.
Di PAHANG, Maran dan Raub turut dinaiki air susulan hujan yang tidak henti-henti menyebabkan seramai 218 mangsa daripada 60 keluarga dipindahkan ke 11 PPS.
Aplikasi Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat melaporkan lima PPS beroperasi di Maran iaitu di Balai Penerangan UMNO Pekan Sungai Jerik yang menempatkan 65 mangsa daripada 16 keluarga, Dewan Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Rancangan (JKKR) Jengka 14 (13 mangsa, tiga keluarga), Dewan Serbaguna Sungai Jerik (13 mangsa, empat keluarga), Dewan JKKR Jengka 11 (sembilan mangsa, tiga keluarga) dan Dewan UMNO Ulu Jempol (lapan orang, satu keluarga).
Majoriti mereka adalah penduduk sekitar Sungai Jerik yang petempatan mereka mula dilanda banjir apabila sungai berhampiran melimpah, yang turut menyebabkan Kuil Sri Marathandavar dinaiki air.
Sementara di Raub, enam PPS dibuka iaitu di Balai Raya Kampung Pamah Rawas (45 mangsa, 15 keluarga), Balai Raya Kampung Kuala Keloi (21 mangsa, tujuh keluarga) Balai Raya Kampung Pamah Kulat (15 mangsa, tiga keluarga), Sekolah Kebangsaan Tanjung Putus (13 mangsa, tiga keluarga), Surau Kampung Peruas (12 mangsa, empat keluarga) dan Balai Raya Kampung Bukit Pampong (empat mangsa, satu keluarga).
Ketua Polis Daerah Raub Supt Kama Azural Mohamed berkata mereka terdiri daripada penduduk berhampiran sungai yang rumah mereka sudah dinaiki air atau menetap di kawasan rendah yang dipindahkan sebagai langkah berwaspada jika banjir berlaku malam tadi memandangkan hujan berterusan.
Di KELANTAN jumlah mangsa yang ditempatkan di PPS terus menunjukkan peningkatan kepada 735 mangsa daripada 156 keluarga berbanding 548 mangsa daripada 108 keluarga, pada sebelah petang.
Pegawai Bahagian Pengurusan Bencana dan Operasi Angkatan Pertahanan Awam (APM) Negeri Kelantan Kapt Mohd Hanif Omar berkata 10 PPS dibuka melibatkan iaitu enam di Kuala Krai, dua di Gua Musang dan masing-masing satu di Jeli dan Tanah Merah.
Di TERENGGANU, jumlah mangsa banjir menyaksikan sedikit pertambahan jumlah mangsa kepada 66 orang daripada 14 keluarga setakat 8 malam tadi daripada 63 orang daripada 13 keluarga pada sebelah petang.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu dalam satu kenyataan memaklumkan mangsa di Dewan Sivik Air Putih, Kemaman meningkat kepada 37 mangsa daripada 30 mangsa petang tadi manakala di Dewan Orang Ramai Kampung Pasir Raja, Dungun pula jumlah mangsa kekal 29 orang.
Dalam pada itu Jabatan Pengairan dan Saliran melalui portal https://publicinfobanjir.water.gov.my melaporkan paras air Sungai Tembeling di Jerantut dan Sungai Kechau di Lipis Pahang; Kampung Jenob dan Sungai Golok, Tanah Merah di Kelantan telah melebihi paras bahaya dan sedang meningkat.
-- BERNAMA

Tiada ulasan: