KUALA LUMPUR: Seluruh pimpinan Parti Bersatu diingatkan agar tidak lupa dengan asas perjuangan parti setelah diberikan pelbagai jawatan, kata Timbalan Presiden Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.
Beliau berkata sepanjang tempoh enam tahun yang lalu, Bersatu daripada sebuah parti politik biasa berhadapan dengan gelombang kekuasaan dan keutuhan wang ringgit dan menempuhi ujian politik luar biasa.
“Sebahagian kecil kita jadi lupa dengan apa yang kita perjuangkan. Malah, kita amalkan perkara-perkara yang kita ‘musuhi’ dulu, sewaktu kita tidak mempunyai jawatan dan kedudukan. Kita mesti cepat menolak segala kelemahan yang melalaikan. Jika mereka bergerak dengan kesombongan, kitalah pembawa jalur budi dan kesederhanaan. Jika mereka angkuh dan ujub, lekaslah kita membawa taslim dan tawaduk ke dalam diri,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian serentak Perhimpunan Agung Tahun Srikandi dan Armada di sini hari ini yang turut dihadiri Ketua Srikandi Datuk Seri Rina Mohd Harun dan Ketua Armada Senator Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.
Ahmad Faizal yang juga Menteri Belia dan Sukan turut mengajak seluruh perwakilan Srikandi dan Armada menggunakan perhimpunan agung tahunan itu melakukan pengukuhan semula nilai politik dalaman.
Ahli Parlimen Tambun itu turut menyorot kelemahan parti semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka November lepas yang menurutnya terlalu banyak menunding jari dan menyalahkan jentera tempatan, semangat berpasukan yang longgar serta mengamalkan model politik lama dan tidak turun mendekati pengundi.
“Akhirnya, kita tewas di 26 kerusi daripada 28 yang kita tandingi. PRN Melaka membuktikan, ‘angin sokongan’ kepada Abah (Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin) dan Perikatan Nasional sudah padu dan kuat, namun jentera dan ‘outreach’ kita mesti juga diperkukuh.
“Jentera asas kita seperti agen kiraan kena diperkukuh. Kita perlu minta mereka yang ‘bersama’ kita secara senyap, keluar dan sumbangkan tenaga kepada parti,” katanya.
Sementara itu, Ahmad Faizal ketika diajukan soalan mengenai desakan Umno untuk diadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) selepas perasmian itu, berkata sekarang semua parti dan pemimpin politik perlu meletakkan kepentingan kepada rakyat yang baharu `lega’ selepas terjejas dengan pandemik Covid-19.
Beliau berkata kerajaan mempunyai sedikit masa lagi untuk memperbaiki keadaan itu dan politik seharusnya jadi kepentingan yang kedua.
“Apabila sudah sampai masanya baru PRU boleh diadakan dan kita kembalikan semua hak itu dan ketika itu barulah kita boleh berpolitik. Buat masa sekarang utamakan kepentingan rakyat itu dahulu… itu saranan dari saya secara peribadi,” katanya. – BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan