BATANG LUPAR: Penduduk di Beting Maro mengambil kesempatan keluar mengundi awal pagi memandangkan cuaca di sini agak redup hari ini.
Sebelum pusat pengundian dibuka penduduk tempatan sudah berada di lokasi terbabit untuk menunaikan tanggungjawab mereka bagi menentukan proses demokrasi berjalan lancar.
Pengarah Jawatankuasa Induk PAS Pilihan Raya Negeri Sarawak, Dr Wan Nik Wan Yussof berkata, sejak Subuh tadi hujan turun renyai-renyai di kebanyakan tempat di Beting Maro.
“Nampaknya cuaca redup seluruh Dun Beting Maro pagi ini. Ini menyebabkan penduduk mengambil kesempatan untuk keluar mengundi lebih awal.
“Biarpun begitu nampak agak sedikit kelam kabut memandangkan orang ramai tidak mengikut barisan yang ditetapkan Suruhjaya Pilihan Raya SPR),” katanya ketika dihubungi di sini.
Menurutnya juga tempoh mengundi bagi Unit Daerah Mengundi (UDM) Pusa dan Beladin dibuka mulai jam 7.30 pagi hingga 2 petang.
Manakala bagi UDM Undai bermula 7.30 pagi hingga 12 tengah hari.
Dr Wan Nik juga berkata, pengundi jangan lupak embak (membawa) kad pengenalan dan datang awal ke tempat pengundian.
Menurutnya seboleh-bolehnya pengundi hendaklah berpakaian kemas dan mengelakkan memakai baju ada lambang parti.
“Apa yang penting jangan lupak pangkah ‘X’ kotak nombor 5, Arif Paijo.
Selamat mengundi. Sama-sama patuhi SOP semasa mengundi. PAS pilihan terbaik demi Nafas Baru Beting Maro,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 18/12/2021
Tiada ulasan:
Catat Ulasan