JELI: Laluan utama yang menghubungkan Jeli dan Dabong, Kuala Krai ditutup pagi tadi berikutan dinaiki air setinggi lebih satu meter.
Laluan sepanjang 300 meter itu dinaiki air sejak jam 3 pagi tadi, berikutan hujan sejak Khamis lalu sehingga hari ini dan menyebabkan lebih 10 kampung terputus hubungan.
Ketua Polis Daerah Jeli, Deputi Superintendan Ahmad Ariffin berkata, lokasi itu adalah antara kawasan paling awal dinaiki air setiap tahun dan pihaknya sudah melakukan pemantauan berterusan termasuk menyediakan kemudahan bot untuk sebarang kecemasan.
"Bot penyelamat daripada pelbagai agensi sudah ditempatkan untuk membawa mana-mana penduduk dari lebih 10 kampung yang terputus hubungan itu sekiranya berdepan dengan kecemasan.
"Bot ini selalunya akan digunakan untuk mengambil pesakit yang perlu menjalani rawatan dialisis dan wanita ingin bersalin," katanya di sini, hari ini.
Berikutan daripada kenaikan air di lokasi itu, Ahmad berkata, sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan Kuala Balah dibuka sejak semalam membabitkan 58 orang.
Katanya lagi, melihat kepada keadaan cuaca yang masih lagi hujan, beliau menjangkakan limpahan itu agak mengambil masa untuk surut.
Sementara itu, Penghulu Mukim Reka, Abu Bakar Yazid berkata, air yang naik mendadak awal pagi tadi yang menyebabkan laluan utama yang menghubungkan Jeli dan Kuala Krai terputus.
"Ada beberapa kenderaan pacuan empat roda cuba menggunakan laluan berkenaan dan ada dalam kalangan mereka berjaya melepasinya namun ada juga yang tiba separuh jalan sebelum berpatah balik.
"Bagi penduduk yang memiliki sampan, boleh menggunakannya untuk berulang-alik kerana tiada jalan alternatif lain boleh diambil kecuali menggunakan laluan berkali ganda jauh iaitu menghubungkan Kuala Krai-Tanah Merah-Jeli," katanya.
BHARIAN.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan