18 Disember 2021

UMNO perlu buat keputusan jelas berhubung kerjasama dengan Pas

 

ISMAIL Sabri Yaakob berucap pada Mesyuarat UMNO Bahagian Bera di Dewan Konvensyen Majlis Daerah Bera, Pahang. - UTUSAN/SHAIKH AHMAD RAZIF

BERA: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, UMNO perlu segera membuat keputusan jelas berhubung kerjasama dalam gagasan Muafakat Nasional (MN) antara parti berkenaan dan Pas. 

Ini kerana, Perdana Menteri yang juga Naib Presiden UMNO berkata, timbul kekeliruan dalam kalangan ahli parti berkenaan berhubung kerjasama dengan Pas sama ada ia diteruskan atau tidak. 

Bagaimanapun, beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Bera berkata, MN masih wujud dan kerjasama membabitkan dua parti itu terus dilaksanakan terutama di Bera sebagai mana diputuskan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) yang lalu. 

“Saya berpandangan UMNO Pusat dan PAU yang dijadualkan pada bulan Januari ini perlu membuat keputusan dengan jelas berhubung kerjasama dengan Pas. 

“Menerusi keputusan itu nanti, kita di peringkat UMNO Bahagian akan tahu apa yang perlu dibuat nanti. 

“Cuma buat masa ini, kerjasama masih kekal sebagaimana keputusan PAU lalu dan belum ada keputusan dari Majlis Tertinggi (MT) mengatakan kita perlu memutuskan hubungan dengan Pas dan PAU juga belum membuat keputusan seterusnya,” katanya ketika ditemui selepas Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Bera di Dewan Konvensyen Majlis Daerah Bera di sini hari ini. 

Sebelum ini, kerjasama MN antara UMNO dan Pas dilihat seperti menuju ke arah perceraian susulan kenyataan kedua-dua kepemimpinan parti yang seolah-olah menyalahkan antara satu sama lain.

Antaranya termasuk tuduhan Pas yang kononnya UMNO melanggar piagam MN.

Pada 12 Disember lalu, Pas menamatkan kekeliruan ramai yang gagasan Muafakat Nasional (MN) diasaskan bersama UMNO pada September 2019 masih lagi hidup.

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, MN tidak berkubur mahu pun menuju di penghujung sebagaimana yang dakwaan segelintir pihak.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, pimpinan UMNO perlu mengurangkan kenyataan tidak mahu bekerjasama dengan Pas kerana ia bertentangan dengan keputusan PAU lalu. 

“Jadi kalau ada juga macam Selangor buat kenyataan hendak kerjasama dengan Pas itu tak salah sebab Selangor ikut keputusan PAU yang lalu. 

“Kita di Bera akan terus kerjasama dengan Pas dan saya percaya Pahang pun akan terus kerjasama dengan Pas, kita akur kepada keputusan PAU dan MT,” katanya. – UTUSAN

Tiada ulasan: