KUALA LUMPUR: Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mendoakan agar bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang kini sedang menjalani rawatan di Institut Jantung Negara (IJN) diberikan kesihatan.
“Saya mendoakan Tun Dr Mahathir Mohamad yang kini sedang menjalani rawatan di Institut Jantung Negara, moga cepat sembuh dan diberikan kesihatan.
“Terima kasih juga diucapkan kepada para doktor dan kakitangan IJN yang memberikan khidmat yang terbaik kepada Tun,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Marang dalam satu hantaran di laman Facebook beliau, malam ini.
Sementara itu, Bernama melaporkan Tun Dr Mahathir sedang menjalani beberapa pemeriksaan kesihatan di IJN.
Menurut kenyataan IJN hari ini, pemeriksaan kesihatan yang dijalankan ke atas Dr Mahathir dijangka selesai dalam masa beberapa hari lagi.
Berikutan itu, Dr Mahathir yang juga Ahli Parlimen Langkawi perlu terus berada di IJN sehingga semua pemeriksaan berkenaan selesai.
“Bagi mematuhi SOP semasa, tiada pelawat dibenarkan melawat beliau,” menurut kenyataan IJN itu.
Dr Mahathir dimasukkan ke IJN pada 7 petang semalam bagi menjalani pemeriksaan kesihatan. – HARAKAHDAILY 17/12/2021
Tiada ulasan:
Catat Ulasan