Kuala Lumpur: Susulan hujan berterusan sejak semalam, beberapa lebuh raya sekitar Lembah Klang turut dinaiki air.
Berdasarkan maklumat diperoleh daripada Pusat Pengurusan Trafik Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), status terkini sehingga jam 4.23 petang tadi, antara lebuh raya yang terjejas ialah Lebuhraya Lebuhraya Lembah Klang Baru (NKVE) E1 di Kilometer (KM) 8.3 hingga KM8.8 arah utara Setia Alam-Shah Alam.
Sehubungan itu, katanya, persimpangan Shah Alam ditutup sepenuhnya.
"Turut ditutup sepenuhnya adalah Plaza Tol Bukit Raja dan Plaza Tol Shah Alam serta susur Persimpangan Setia Alam ke Shah Alam.
"Pihak PLUS sudah melaksanakan pembukaan lorong kecemasan di KM7 sekiranya dari arah Bukit Raja, dan KM8 sekiranya dari arah Subang," katanya.
Turut terjejas banjir, katanya, adalah di Lebuhraya Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (ELITE) (E6) membabitkan KM3.0 arah selatan, Shah Alam hingga Seafield.
Katanya, laluan utama dari ELITE ke NKVE dan Lebuh Raya Koridor Guthrie (GCE) ditutup sepenuhnya.
"Sehubungan itu, pihak PLUS sudah membuka lorong kecemasan di KM0.7.
"Situasi buat masa ini ialah, lorong kiri dan tengah dinaiki air," katanya.
Selain itu, banjir juga berlaku di Lebuh Raya Shah Alam (KESAS) E5 membabitkan KM27.5 hingga KM27.3 arah barat Plaza Tol Kemuning.
Katanya, lorong tengah, kiri dan lorong kecemasan sudah dinaiki air menyebabkan empat lorong di Plaza Tol Kemuning (arah barat) ditutup sementara.
"Turut dinaiki air adalah di KM27.0 hingga KM27.2 arah timur Plaza Tol Kemuning yang membabitkan lorong tengah, kiri dan lorong kecemasan.
"Hanya lorong kanan boleh dilalui kenderaan. Tinjauan mendapati trafik masih lancar namun kenderaan bergerak perlahan di lokasi," katanya.
Selain itu, banjir turut direkodkan di lebuh raya di KM19.3 hingga KM19.1 arah barat Bandar Puteri ke Pandamaran, Klang apabila lorong tengah, kiri lorong kecemasan dinaiki air menyebabkan hanya lorong kanan boleh dilalui manakala trafik perlahan di lokasi.
Di Lebuhraya Persimpangan Bertingkat, Lebuh Raya Pintasan Selat Klang Utara Baru (NNKSB) E30, katanya, air naik di KM11 hingga KM12 laluan Kapar ke Bukit Raja.
"Kesemua lorongnya dinaiki air kerana hujan lebat berpanjangan dan air pasang besar. Hanya kenderaan kelas tiga sahaja yang boleh melaluinya.
"Kenderaan lain diarahkan menggunakan laluan alternatif keluar di Batu Belah sekiranya dari arah Bukit Raja/Shah Alam dan keluar di Jalan Kapar/Hj Sirat sekiranya dari arah Pelabuhan Klang.
"Status semasa, trafik bergerak perlahan di lokasi-lokasi terbabit," katanya.
HMETRO.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan