RIO DE JANEIRO: Saintis di Brazil menganggarkan sekurang-kurangnya 17 juta haiwan bertulang belakang termasuk reptilia, burung dan primat mati dalam kebakaran hutan di Brazil.
Agensi berita BBC melaporkan, kebakaran besar yang yang berlarutan sejak 2020 itu memusnahkan sebahagian besar tanah paya Pantanal dan turut melenyapkan jutaan spesies serangga dan hidupan liar lain.
Pantanal adalah kawasan paya tropika terbesar dunia dan terletak di negeri Mato Grosso, Brazil dan merangkumi wilayah di Bolivia serta Paraguay seluas hampir 195,000 kilometer persegi.
Kebakaran hutan yang marak antara Januari hingga November 2020 mengakibatkan 30 peratus kawasan tanah paya itu musnah termasuk sejumlah besar flora dan fauna.
Ketua saintis Tabung Hidupan Liar Sedunia (WWF) cawangan Brazil, Dr Mariana Napolitano Ferreira, berkata kajian berhubung kerugian yang berlaku itu disiarkan dalam jurnal Scientific Reports.
"Pada tahun lalu, terdapat 22,000 kes kebakaran hutan yang berasingan di Pantanal dan ada yang berterusan hingga tahun ini, malah masih ada beberapa kebakaran dikesan masih berlaku," katanya.
Menurutnya, kajian berkenaan mengetengahkan betapa pentingnya untuk menghindari bencana seumpamanya pada masa hadapan kerana kemusnahan yang berlaku tidak mungkin dapat diganti.
Saintis berupaya sampai ke tanah paya itu dalam tempoh 48 jam selepas setiap kebakaran dapat dipadamkan dan mereka melalui beberapa laluan berbeza bagi memeriksa setiap haiwan yang ditemui mati.
Pasukan saintis itu mengenal pasti 300 spesies bangkai haiwan sebelum melakukan tinjauan dan membuat anggaran bilangan haiwan yang mati secara keseluruhan. - AGENSI
Tiada ulasan:
Catat Ulasan